Tehran: Persekutuan Bola Sepak Iran mengumumkan skuad kebangsaan mereka hanya akan terbang ke Los Angeles sehari sebelum aksi pembukaan Kumpulan C menentang New Zealand pada Selasa depan.
Sepanjang kempen Piala Dunia 2026, Iran memilih untuk menjadikan Tijuana di Mexico sebagai pangkalan pasukan meskipun ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di Amerika Syarikat (AS).
Selain berdepan New Zealand di Los Angeles, Iran turut akan menentang Belgium di venue sama pada 21 Jun sebelum berdepan Mesir di Seattle lima hari kemudian.
Kempen Iran kali ini bagaimanapun dibayangi ketegangan hubungan antara Tehran dan Washington yang turut memberi kesan terhadap urusan perjalanan pasukan.
Walaupun semua pemain berjaya memperoleh visa untuk memasuki AS, seramai 15 anggota pasukan sokongan membabitkan pegawai pengurusan dan pentadbiran gagal mendapat kelulusan visa.
Isu itu tercetus hanya beberapa hari sebelum sepak mula kejohanan yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada bermula awal pagi Jumaat ini.
Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Iran, Amir Mehdi Alavi berkata, pasukan akan mengikuti jadual perjalanan yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Menurut program FIFA, delegasi pasukan akan berlepas ke Amerika Syarikat menggunakan penerbangan khas.
“Pasukan akan tiba di bandar tuan rumah sehari sebelum perlawanan menentang New Zealand, manakala bagi dua perlawanan berikutnya kami akan berada di lokasi pertandingan dua hari lebih awal,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita ISNA.
Sementara itu, Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali turut mengeluarkan amaran berhubung kemungkinan wujudnya simbol atau slogan berunsur politik ketika perlawanan berlangsung.
“Jika di stadium tempat kami bermain terdapat sebarang bendera atau simbol selain milik Republik Islam Iran, atau slogan yang melanggar norma dilaungkan, pegawai pasukan mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan perlawanan itu.
“Menjadi tanggungjawab penganjur untuk memperbetulkan keadaan itu,” katanya seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.
Peraturan FIFA menetapkan sebarang simbol atau mesej berunsur politik tidak dibenarkan dipamerkan sepanjang kejohanan Piala Dunia berlangsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd






