7,000 rakyat Malaysia dan Thailand 'lintas' ICQS Rantau Panjang sempena Aidilfitri

7,000 rakyat Malaysia dan Thailand 'lintas' ICQS Rantau Panjang sempena Aidilfitri

7,000 rakyat Malaysia dan Thailand 'lintas' ICQS Rantau Panjang sempena Aidilfitri


am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Hampir 7,000 rakyat Malaysia dan Thailand melintasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman berkata, jumlah itu direkodkan pada malam sebelum hari raya dan hari pertama sambutan.

“Pada malam sebelum hari raya, kira-kira 3,500 orang melintasi sempadan, manakala lebih 3,000 orang direkodkan pada hari pertama sambutan.

“Kami masih belum menerima jumlah penuh bagi semalam, namun pergerakan kekal aktif dengan ramai pengembara keluar masuk,” katanya ketika dihubungi.

Bakri berkata, pergerakan rentas sempadan itu membabitkan rakyat Malaysia dan Thailand yang pulang menziarahi keluarga di Kelantan dan selatan Thailand, selain rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan cuti sekolah yang panjang untuk bercuti.

“Ramai rakyat Malaysia mengambil peluang cuti umum yang panjang untuk berkunjung ke selatan Thailand, khususnya Hat Yai,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan rentas sempadan di Rantau Panjang lazimnya meningkat setiap kali cuti panjang dan musim perayaan, berikutan rakyat Malaysia sering ke selatan Thailand untuk percutian singkat, membeli-belah serta menikmati makanan, di samping mengekalkan hubungan kekeluargaan merentasi sempadan.

Bakri berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan bagi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan di pintu masuk sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top