am@hmetro.com.my
Melaka: Misteri bau busuk terjawab apabila seorang lelaki ditemui maut dalam rumahnya yang berkunci di Blok A, tingkat lapan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 46 tahun ditemui tidak bernyawa di atas lantai bilik tidur utama selepas pintu kediamannya berjaya dibuka pasukan bomba.
Difahamkan, kejadian terbongkar selepas jiran terhidu bau busuk dari rumah berkenaan sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 4.25 petang.
“Sebaik tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati seorang lelaki berada di dalam rumah yang berkunci.
“Komander operasi kemudian mengarahkan pintu dibuka dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 4.35 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.08 malam.
Sementara itu, punca kematian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






