Penyanyi, Aisha Retno meluahkan rasa teruja apabila bakal berkongsi pentas bersama Biduanita Negara, Siti Nurhaliza.
Menerusi perkongsian di Threads, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, memaklumkan dia akan membuat persembahan dalam konsert Eksklusif Aidilfitri Beraya Dengan Saya bersama Siti pada 10 April 2026.
“10 April ni saya perform dengan TokTi. Ya Allah, Datuk Seri Siti Nurhaliza… nyanyi lagu apa ni?” tulisnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Jodoh Lebaran itu turut mencuit perhatian apabila menggambarkan perasaannya seperti ‘cacing kepanasan’ menjelang hari persembahan.
Malah, Aisha berseloroh dia mungkin akan berulang-alik ke tandas lebih 10 kali sebelum naik ke pentas kerana terlalu gementar.
“Rasanya saya akan ke tandas lebih 10 kali sebelum naik pentas,” katanya.

Selain Aisha, konsert tersebut turut menampilkan artis naungan di bawah SN Legacy seperti Umairah serta Auddra atau lebih dikenali sebagai Oddah, anak kepada selebriti Sharifah Shahira.






