Kuskop gubal akta koperasi baharu – Ewon Benedick

Kuskop gubal akta koperasi baharu – Ewon Benedick



kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam proses menggubal akta koperasi yang baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, 96 peruntukan asal dalam akta itu akan disusun dan ditambah baik.

Katanya, dianggarkan, 200 peruntukan baharu akan dimasukkan ke dalam akta berkenaan.

“Pindaan itu dibuat bagi memperkukuhkan elemen pengawalseliaan dan memastikan perundangan koperasi kekal relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Cadangan penggubalan akta koperasi baharu, antaranya memperkasakan gerakan koperasi dengan meliberalisasikan perundangan dan memperkasakan pengawalseliaan koperasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, akta sedia ada dibuat lebih 30 tahun lalu, dan tiada sebarang pindaan dilakukan sejak itu.

Beliau berkata, melalui sesi libat urus dan kajian agensi kementerian, pihaknya mendapati begitu banyak cadangan pindaan akta yang diperlukan oleh gerakan koperasi iaitu kira-kira 200 cadangan pindaan.

“Kita akan memperbanyakkan lagi sesi libat urus bersama koperasi-koperasi untuk mendengar cadangan draf awal Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi sebelum kita ‘angkat’ ke Parlimen untuk proses penggubalan dan pewartaan pada tahun depan dan dijangka dikuatkuasakan tahun 2026,” katanya.

Selain itu, Ewon berkata, mesyuarat yang diadakan juga memberi fokus kepada hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara dan mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Katanya, perkara yang dibincangkan adalah yang boleh menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi supaya terus kekal relevan sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top