Dubai: Pemberontak Houthi di Yaman kini menjadi pihak baharu yang memasuki perang Asia Barat, selepas ia melancarkan peluru berpandu pertama mereka dalam beberapa bulan ke arah Israel pada Sabtu.
Selepas konflik Asia Barat meletus, Houthi menyuarakan sokongan terhadap sekutu mereka dalam menghadapi serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, namun menahan diri daripada mengambil bahagian secara langsung sambil memberi amaran bahawa “jari mereka berada pada picu senjata”.
Pada Sabtu, mereka ‘menarik picu’ berkenaan dengan mengumumkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas tapak tentera Israel. Israel melaporkan mengesan pelancaran peluru berpandu dari Yaman dan sedang berusaha untuk memintasnya.
Felo penyelidik di Chatham House, Farea Al-Muslimi berkata, pembabitan kumpulan itu dalam konflik berkenaan “menandakan peningkatan ketegangan yang serius dan amat membimbangkan sambal menambah ia berisiko “meluaskan lagi perang yang sememangnya sudah tidak menentu dengan implikasi besar” terutamanya terhadap kestabilan serantau dan perdagangan global.
Berikut kemungkinan yang bakal berlaku:
Penganalisis lama meramalkan bahawa Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman termasuk ibu negara, Sanaa sejak 2014, akan menyertai perang di Asia Barat.
Pemberontak berkenaan berkemungkinan “cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri daripada konflik,” kata Al-Muslimi sambil menambah bahawa mereka menyedari pembabitan itu “tidak akan mendatangkan kebaikan kepada mereka namun akhirnya terpaksa membalas budi kepada Iran yang menyokong mereka selama bertahun-tahun.
Dalam serangan pertama, Houthi memilih untuk menyasarkan Israel seperti yang sering dilakukan semasa konflik di Gaza, dan bukannya kepentingan AS atau negara Teluk yang kaya.
Firma perunding risiko berpangkalan di AS, Basha Report menyatakan langkah itu menghantar mesej jelas kepada penyokong di tanah air dan sekutu luar negara bahawa fokus utama mereka tetap pada perjuangan Palestin sambil memberi isyarat kepada AS dan Arab Saudi bahawa negara berkenaan tidak menjadi sasaran, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Menurut Basha Report, langkah seterusnya mungkin tertumpu pada serangan terhadap lalu lintas maritim serantau berbanding aset AS, satu strategi yang mewujudkan tekanan tanpa melangkaui had yang boleh mencetuskan tindak balas langsung daripada AS.
Selat kedua dalam bahaya
Dari kubu kuat mereka di kawasan pergunungan di atas Laut Merah, Houthi berpotensi mengganggu perkapalan secara serius menggunakan dengan dron dan peluru berpandu.
Mereka membuktikan kemampuan ini semasa konflik di Gaza apabila pemberontak menyasarkan kapal-kapal yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Serangan itu mengancam laluan melalui Selat Bab al-Mandeb, sebuah laluan air sempit di hujung selatan Laut Merah yang menjadi pintu masuk ke Terusan Suez dari Lautan Hindi.
Selat itu adalah salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia memandangkan Laut Merah berfungsi sebagai penghubung utama antara Eropah dan Asia.
Titik genting itu menjadi lebih penting bagi aliran minyak global sejak Iran secara efektif menutup Selat Hormuz di bahagian bertentangan semenanjung Arab dan satu-satunya ialah berlayar mengelilingi Tanjung Harapan di hujung selatan Afrika.
Jika Selat Bab al-Mandeb turut terancam, pasaran global yang sememangnya rapuh dijangka akan bergolak malah pakar berpendapat Arab Saudi tidak akan berdiam diri.
Pendirian Arab Saudi bakal berubah?
Dengan penutupan Selat Hormuz, Arab Saudi terpaksa melencongkan kapal tangki ke pelabuhan Laut Merah di Yanbu yang kini menjadi satu-satunya laluan selamat untuk minyak kerajaan berkenaan.
Jika laluan ini disekat, Riyadh mungkin terpaksa mengabaikan pendirian semasa dalam menangkis serangan peluru berpandu dan dron Iran hampir setiap hari tanpa membalas dendam.
Penganalisis keselamatan Arab Saudi, Hesham Alghannam memberitahu AFP bahawa sikap “berkecuali secara berhati-hati dalam perang ini” mungkin boleh runtuh, dan Riyadh mungkin mempertimbangkan tindakan balas, “walaupun terhad,” sekiranya tekanan meningkat,
Peningkatan ketegangan serantau yang lebih meluas
Dalam kenyataan mereka, Houthi memberi bayangan mengenai kemungkinan serangan ke atas negara jiran.
Serangan sedemikian boleh membawa kesan buruk termasuk risiko konfrontasi langsung antara Houthi dan Arab Saudi. Houthi sebelum ini menentang gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa dalam konflik yang berlarutan dari 2015 sehingga 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd





