Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, turun padang untuk memantau aktiviti ‘ulat foto’ di kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas pada malam tadi.
Melalui rakaman yang disiarkan di Facebook rasminya, Hannah turut ditemani Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, beserta pegawai penguatkuasa DBKL di Jalan Ampang.
“Malam ini saya turun ke KLCC untuk ‘spot check’ dan melihat situasi ‘ulat foto’ yang sering dilaporkan mengganggu orang ramai dan pelancong,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Hannah kelihatan memakai kemeja-T hitam, manakala Fadlun mengenakan kemeja-T putih di sebuah simpang empat berhadapan Menara Berkembar, lokasi tumpuan penggemar jurugambar tanpa lesen atau ‘ulat foto’.
Difahamkan, mereka menawarkan perkhidmatan merakam gambar berlatar Menara Berkembar Petronas kepada para pelancong.
Namun, rakaman di Facebook Hannah menunjukkan tiada kelibat pengambil gambar jalanan kelihatan di lokasi tinjauan.
Terdahulu, Hannah turut menyatakan DBKL bakal memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) bagi menangani kegiatan tersebut.
Artikel lain: Tular video ahli MPP didakwa kutip wang perlindungan: “You pau, you out!” -Hannah Yeoh
Kegiatan itu menjadi tumpuan apabila lima individu ditahan pada 22 Mac bagi membantu siasatan kes sekumpulan ulat foto menyerang dua individu di kawasan Persiaran KLCC.
Kekecohan dipercayai bermula apabila mangsa melihat dan menghampiri sekumpulan lelaki yang sedang mengambil gambar pengunjung di lokasi terbabit, sebelum memukul seorang pelancong lelaki warga India.
Mangsa yang bertindak menegur dan meleraikan pergaduhan itu kemudian diserang secara tiba-tiba dari arah belakang oleh seorang individu menggunakan sebilah kerambit.
Sumber: FB Hannah Yeoh






