KUALA TERENGGANU – Tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut manakala seorang lagi parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura di sini malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.26 malam sebelum menggerakkan 10 anggota ke lokasi nahas.
Beliau berkata, laporan awal mendapati nahas itu melibatkan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa berusia lingkungan 20-an dan kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.
“Kereta berkenaan merempuh kedua-dua motosikal itu dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke universiti. Satu daripada motosikal itu terseret hampir 60 meter.
“Kedua-dua penunggang dan pembonceng Yamaha LC135 maut manakala seorang yang menaiki Yamaha Y15 cedera dan seorang lagi meninggal dunia.
“Semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian setelah disahkan petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, pemandu wanita berkenaan yang ada menunjukkan tanda-tanda masalah mental difahamkan telah dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA