Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman memohon orang ramai untuk mendoakan yang terbaik buat mereka berdua berhubung spekulasi kononnya mereka sedang menantikan kehadiran cahaya mata.
Kata Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 36, dia dan Amira tidak mempunyai niat untuk merahsiakan sebarang khabar gembira, namun akan berkongsi perkara itu apabila tiba waktu yang tepat.
“Macam kami cakapkan sebelum ini, insya-Allah masa itu akan sampai. Sama ada cepat atau lambat, masa itu akan sampai bila kita sudah bersedia untuk berkongsi.
“Cuma sekarang ini, masanya belum sampai lagi. Harap bersabarlah. Jangan risau, kita takkan sorok-sorok sebab benda baik kita akan beritahu,” katanya.

Tambah Fattah, dia berharap peminat akan terus mendoakan yang terbaik agar segala urusan mereka dipermudahkan.
“Yang penting kita harap peminat dan media mendoakan yang baik-baik. Insya-Allah bila ada berita gembira, kita akan kongsi.
“Seperti saya cakap, masa itu belum sampai lagi,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Seri Syawal Usanita di Grand Hyatt, pada Khamis.

Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 33, menyifatkan spekulasi dalam kalangan peminat itu adalah perkara biasa bagi setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga apatah lagi dalam kalangan selebriti.
“Kalau sebelum kahwin orang tanya bila hendak kahwin, selepas kahwin mestilah orang hendak tahu berita gembira seterusnya. Spekulasi itu adatlah sebagai anak seni.
“Cuma jika ada benda baik, saya akan kongsi. Jika saya pilih untuk tidak komen, pasti ada sebab dan kami sudah fikirkan waktu yang terbaik. Saya yakin peminat faham dan menghormati keputusan kami,” jelasnya.
Untuk rekod, Fattah mendirikan rumah tangga dengan Amira pada 14 September tahun lalu.






