Pogacar alu-alukan cabaran Evenepoel di Jelajah Flanders

Pogacar alu-alukan cabaran Evenepoel di Jelajah Flanders


Waregem(Belgium): Juara dunia, Tadej Pogacar mengalu-alukan cabaran juara Olimpik, Remco Evenepoel, yang bakal membuat penampilan sulung di Jelajah Flanders hujung minggu ini.

Pogacar, juara bertahan perlumbaan itu, memulakan musim ini dalam prestasi cukup cemerlang apabila menjuarai Strade Bianche sebelum menewaskan pelumba Britain, Tom Pidcock, di garisan penamat Milan-San Remo, Monumen pertama musim ini.

Kemenangan itu menyaksikan pelumba Slovenia berusia 27 tahun itu kini hanya belum menjuarai Paris-Roubaix dalam misinya melengkapkan Grand Slam Monumen, selepas sudah memenangi Jelajah Flanders dua kali, Liege-Bastogne-Liege tiga kali dan Giro di Lombardia sebanyak lima kali.

Pogacar akan memulakan perlumbaan Ahad ini sebagai calon pilihan utama, namun penyertaan mengejut Evenepoel menaikkan lagi jangkaan terhadap saingan Monumen kedua daripada lima perlumbaan utama musim ini.

“Bagi saya, bagus untuk mempunyai pelumba seperti Remco yang sentiasa mahu menyerang dari jauh… dan sentiasa agresif.

“Kita lihat dalam beberapa perlumbaan terakhir, dia sentiasa mahu menang tidak kira apa juga keadaannya.

“Dia mampu mengharungi perlumbaan yang sangat baik pada Ahad. Dia berada dalam keadaan baik dan pastinya pelumba yang perlu diberi perhatian, terutama dengan serangan jarak jauhnya. Jangan sesekali hilangkan dia daripada pandangan,” kata Pogacar.

Evenepoel, pemenang berganda pingat emas Olimpik, mempunyai gaya perlumbaan hampir sama dengan Pogacar apabila kedua-duanya terkenal dengan serangan solo jarak jauh yang berani.

Pelumba Belgium itu pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2022 menerusi kayuhan solo sejauh 25 kilometer (km), selain melancarkan serangan 30km sebelum garisan penamat untuk memenangi Liege-Bastogne-Liege dan 44km untuk menjuarai Clasica San Sebastian pada tahun sama.

Namun, kayuhan solo sejauh 80km yang dilakukan Pogacar ketika menjuarai Strade Bianche pada 2024 terus menjadi antara aksi paling luar biasa dalam sukan itu.

“Dengan Remco, kita tidak pernah tahu di mana dia boleh menyerang dan dia boleh melakukannya di tempat yang paling tidak dijangka, jadi anda perlu berhati-hati.

“Anda tidak boleh biarkan dia berada di depan walaupun hanya beberapa saat kerana hampir mustahil untuk mengejarnya semula sebab dia sangat pantas,” kata Pogacar.

Dalam pada itu, Pogacar berkata kebanyakan pasukan kini dilihat semakin memahami cara untuk mengekang serangan jarak jauh selepas beberapa percubaan dalam perlumbaan klasik berbatu sebelum ini berjaya dipatahkan.

Katanya, jika ada pelumba menyerang terlalu awal, kelompok di belakang masih mempunyai masa untuk menyusun semula strategi dan bekerjasama untuk mengejar semula pelumba di hadapan.

Bagaimanapun, juara empat kali Tour de France itu tidak yakin pendekatan sama akan mudah berhasil di Flanders memandangkan perlumbaan itu jauh lebih panjang dan mencabar berbanding saingan klasik berbatu lain.

“Flanders adalah perlumbaan yang sangat berbeza. Ia jauh lebih panjang dan lebih mencabar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top