Sonny sertai skuad Johor hanya 'prank'

Sonny sertai skuad Johor hanya 'prank'

Sonny sertai skuad Johor hanya 'prank'


aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian untuk melihat legenda All Blacks, Sonny Bill Williams yang dikatakan kembali daripada persaraan untuk membantu pasukan ragbi Johor adalah tidak benar.

Perkara itu disahkan Pengurus Pasukan Johor bagi Kejohanan Ragbi Piala Agong, T S Mohd Faizal Hassan yang menjelaskan hantaran tular di media sosial itu adalah ‘prank’ semata-mata.

Menurutnya, kekeliruan itu dipercayai berpunca daripada hantaran sempena 1 April yang disalah tafsir sebagai berita benar.

“Hantaran itu mungkin merujuk kepada posting pada 1 April, jadi ia hanya gurauan dan bukan perkara sebenar.

“Jadi, memang tidak benar dia akan sertai pasukan ragbi Johor,” katanya.

Faizal berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Undian dan Taklimat Pengurus Pasukan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Sonny Bill kekal dengan peranannya sebagai Duta Sukan Johor dan terus aktif menyokong pembangunan sukan di negeri itu.

Sementara itu dalam aksi Piala Agong, Johor yang muncul naib juara musim lalu diundi dalam Kumpulan B bersama Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, Kumpulan A dibarisi juara bertahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Terengganu, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Faizal menjangkakan saingan edisi kali ini lebih sengit apabila setiap pasukan dijangka tampil dengan strategi dan pendekatan baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top