PETALING JAYA: Intel Corporation melantik Santhosh Viswanathan sebagai Naib Presiden dan Pengarah Urusan bagi rantau Asia Pasifik dan Jepun (APJ).
Dengan peluasan skop kepimpinannya daripada India ke APJ, Viswanathan akan menerajui keseluruhan perniagaan, jenama, serta penglibatan pelanggan Intel di kedua-dua rantau tersebut, sekali gus menyatukan rantau ini di bawah struktur kepimpinan yang lebih padu.
Intel Corporation berkata, Viswanathan akan bertanggungjawab memacu pertumbuhan perniagaan, memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan rakan kongsi, serta mempercepat keutamaan strategik Intel di salah satu rantau paling dinamik dan pelbagai bagi syarikat itu.
Menurutnya, Viswanathan merupakan pemimpin berpengalaman di Intel dengan lebih dua dekad pengalaman merentas pelbagai geografi.
“Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Pengarah Urusan Intel India, di mana beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh India sebagai enjin pertumbuhan utama syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau mengetuai operasi Intel di Asia Tenggara, Australia dan New Zealand, selain memegang pelbagai peranan kepimpinan serantau di APJ.
Pada peringkat awal kerjayanya, Viswanathan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Operasi Global di Intel di Amerika Syarikat, di mana beliau mengetuai strategi dan perancangan operasi jualan bagi organisasi jualan global serta menyokong inisiatif transformasi utama merentas pasaran.
Viswanathan berkata, APJ merupakan salah satu rantau paling pelbagai dan berkembang pesat di dunia, dan kekuatannya terletak pada rakyat, rakan kongsi, serta ekosistem teknologi.
“Saya teruja untuk memikul tanggungjawab yang lebih luas ini dan bekerjasama rapat dengan pasukan serta pelanggan kami untuk membuka peluang baharu, memacu pertumbuhan dan mencipta impak yang berkekalan di seluruh rantau ini,” katanya.
Viswanathan memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Industri dan Pengurusan, serta Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan.-UTUSAN





