redzuan.muharam@hmetro.com.my
SUDAH lebih 17 kali Zmarul Al Adam Pulutan Abdullah atau dikenali sebagai Zmarul Adam merangkul kejuaraan dalam kejohanan bina badan di dalam dan luar negara.
Walaupun sudah banyak kemenangan dirangkul, Zmarul Adam enggan menoleh ke belakang, sebaliknya mahu terus ‘berlari selaju-lajunya’.
Bapa seorang anak yang juga atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2013 itu terus aktif walaupun pernah diuji dengan kecederaan serius dua tahun lalu hingga tahap sukar untuk menunaikan solat.
Bagi Zmarul Adam, dunia bina badan sudah sebati dengan dirinya dan kerana itu, dia masih bertahan sehingga kini malah turut berkongsi ilmu dengan melatih pelapis baharu yang mahu mendapat bimbingannya sebelum menyertai kejohanan.
Menceritakan kisahnya, Zmarul Adam, 34, berkata, dia berjinak-jinak dengan aktiviti kecergasan secara suka-suka sejak 2011.
“Ketika itu, badan kurus dan tiada siapa yang ajar tetapi saya cuba lakukan dengan ambil masa lebih setahun juga untuk dapatkan bentuk badan diinginkan.
“Ketika itu, saya konsisten ke gimnasium. Pada 2013, saya ditawarkan menjadi atlet bina badan bersama pasukan PDRM.
“Ia perjalanan yang tidak mudah kerana sukan ini memerlukan perbelanjaan besar termasuk bagi membeli makanan tambahan. Ia bukan sekadar disiplin serta potensi diri saja,” katanya.
Bagaimanapun, Zmarul Adam bersyukur kerana isteri tercinta sangat memahami sehingga satu ketika sanggup menawarkan untuk menggadai barangan kemas bagi membantunya.
Zmarul Adam berkata, pengorbanan isteri itu membuatkannya tersentuh selain mengakui, tidak mudah untuk sampai ke tahap sekarang tanpa sokongan isteri dan keluarga.
“Pada awal pembabitan, ada yang tidak yakin saya mampu melakukannya. Bagaimanapun, semuanya membuahkan hasil.
“Paling penting, kita jangan mengalah, terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan apa yang kita perjuangkan membuahkan hasil,” katanya yang pernah merangkul gelaran Mr Malaysia pada edisi 2017, 2018 dan 2019.
Zmarul Adam berkata, banyak sasaran sudah dicapai, namun dia belum terfikir untuk bersara daripada dunia bina badan.
Berikutan itu, Zmarul Adam mahu terus melangkah dan memburu lebih banyak kejuaraan.
“Wang hasil kemenangan memang tidak dapat menampung sepenuhnya modal yang jauh lebih besar.
“Namun, kepuasan itu lebih penting dan kemenangan serta gelaran juara itu adalah bonus, dapat sekali pun sudah mencukupi,” katanya.
Menurut Zmarul Adam, biarpun banyak meraih kejuaraan, kegagalan juga penting kerana ia turut mengajarnya supaya tidak rasa diri adalah yang terbaik.
“Jangan rasa kita bagus atau hebat walaupun sudah banyak kali muncul juara.
“Sebaliknya, sentiasa bersyukur, kekalkan disiplin, jangan sombong, jaga pemakanan selain terus berlatih ibarat esok ada pertandingan besar kerana itulah sebenarnya mentaliti seorang juara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
