Faisal Halim pukau penonton di atas pentas nyanyian

Faisal Halim pukau penonton di atas pentas nyanyian

Faisal Halim pukau penonton di atas pentas nyanyian


firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Aksi lincah di atas padang bukan lagi sesuatu yang asing buat tonggak Selangor FC, Faisal Halim namun kali ini dia mencuri tumpuan dengan sisi berbeza apabila mempamerkan bakat nyanyian dalam Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Yayasan Raja Muda Selangor dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), di sini, hari ini.

Pemain sayap skuad Harimau Malaya itu dilihat cukup bersahaja di atas pentas, sekali gus membuktikan dirinya bukan sahaja ‘berbisa’ ketika menggelecek lawan, malah mampu menghiburkan penonton dengan suara yang gemersik.

Lebih menarik, Faisal tidak beraksi solo apabila turut bergandingan bersama tiga lagi rakan sepasukan iaitu Sikh Izhan Nazrel dan Fazly Mazlan yang sama-sama menghangatkan suasana dengan lagu raya penuh ceria.

Turut serta memeriahkan persembahan ialah Aliff Izwan Yuslan, menjadikan pentas sambutan itu seolah-olah ‘mini konsert’ istimewa buat tetamu yang hadir.

Persembahan spontan itu nyata mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin yang tidak menyangka pemain bola sepak mampu tampil begitu yakin di atas pentas, jauh berbeza dengan imej serius mereka ketika perlawanan.

Faisal yang terkenal dengan kelincahan, kepantasan dan keberanian mengucar-kacirkan benteng lawan dilihat membawa ‘magis’ sama ke pentas apabila tampil penuh energi dan karisma sepanjang persembahan.

Malah, keserasian antara pemain juga jelas terserlah apabila mereka saling melengkapi antara satu sama lain, sama seperti di atas padang ketika memburu kemenangan buat Selangor FC.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemain dan penyokong, malah memperlihatkan sisi berbeza bintang bola sepak tempatan yang bukan sekadar hebat bersukan, tetapi juga berbakat dalam bidang hiburan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top