asmaini@mediaprima.com.my
WCT terus menyokong komuniti terpinggir menerusi ‘WCTGives Brightening Lives 2.0’, iaitu fasa kedua inisiatif komunitinya bersama Buku Jalanan Chow Kit (BJCK).
Menerusi inisiatif itu, kumpulan berkenaan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf pusat pembelajaran BJCK bagi meningkatkan tahap keselamatan, kebolehcapaian dan persekitaran keseluruhan buat pelajar, pendidik serta pelawat.
BJCK adalah pertubuhan bukan kerajaan berpusat di Chow Kit, Kuala Lumpur, yang menyediakan sokongan pendidikan dan program pembangunan holistik kepada lebih 150 kanak-kanak dan belia terpinggir berusia tujuh hingga 18 tahun.
Pusat pembelajaran itu disokong oleh 18 pendidik, yang menyediakan peluang pembelajaran berstruktur dalam persekitaran yang selamat dan kondusif untuk perkembangan kanak-kanak.
Inisiatif WCTGives Brightening Lives pertama pada 2024 menyediakan sumber pendidikan serta menaik taraf kemudahan utama di pusat pembelajaran berkenaan.
Manakala, fasa kedua itu pula memperluaskan sokongan kumpulan berkenaan melalui pengubahsuaian kawasan guna sama BJCK daripada tingkat bawah hingga tingkat satu.
Bagi tujuan itu, kumpulan berkenaan menyumbang kira-kira RM34,000 bagi menaik taraf pintu masuk utama, tangga, bilik simpanan dan kemudahan pencahayaan di pusat terbabit.
Kerja penambahbaikan itu merangkumi usaha meningkatkan keselamatan, mengoptimumkan ruang penyimpanan, menerapkan ciri-ciri kawalan perosak, serta memastikan laluan akses dan laluan kecemasan sentiasa bebas halangan.
Sebagai sebahagian daripada kerja pengubahsuaian itu, dua lukisan mural turut ditambah di sepanjang kawasan pintu masuk bagi melengkapi penambahbaikan fizikal serta mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan menarik untuk warga BJCK.
Pengarah Urusan Kumpulan WCT Datuk Lee Tuck Fook berkata, pihaknya percaya bahawa sokongan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan komuniti yang mereka santuni dan bantu.
“Kami berbesar hati dapat meneruskan sokongan kepada Buku Jalanan Chow Kit dengan membantu mewujudkan persekitaran tempat kanak-kanak dapat belajar dan membesar dengan lebih yakin.
“Inisiatif ini mencerminkan hasrat utama WCTGives di bawah tonggak #EducationforAll serta komitmen kami untuk menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan inklusif,” katanya.
Majlis penyerahan kemudahan baharu itu dirasmikan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah WCT Chong Wah Hing.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Halatuju Strategik BJCK Siti Rahayu Baharin berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat dan menyokong untuk belajar, berkembang serta merealisasikan potensinya.
Katanya, pintu masuk dan kawasan guna sama yang dinaik taraf itu bukan sekadar penambahbaikan fizikal semata-mata; ia mencerminkan komitmen bersama untuk mewujudkan ruang di mana pelajar berasa dialu-alukan dan digalakkan untuk mengejar cita-cita mereka.
“Kami berharap ruang ini akan terus menyemai harapan, keyakinan dan rasa kekitaan dalam kalangan kanak-kanak serta seluruh warga BJCK,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
