MUAR – Muhammad Akmal Md Tukirin, 20, tidak menunjukkan sebarang tanda akan pergi buat selama-lamanya semasa pulang di Kampung Parit Baru di sini minggu lalu.
Bapanya, Md Tukirin Saringat, 60, berkata, malah Allahyarham yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika cuti semester lalu.
“Saya pesan kepadanya belajar rajin-rajin dan jangan tinggal solat. Dia seorang yang periang, suka buat lawak dan ringan tulang membantu.
“Saya memang tidak rasa apa-apa pun yang dia akan pergi buat selamanya,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru di sini hari ini.
Jenazah Muhammad Akmal selamat dikebumikan pada pukul 5.20 petang.
Dalam kejadian pukul 7.20 malam tadi, tiga penuntut UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Tiga pelajar terbabit, Muhammad Akmal, Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.
Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke universiti selepas makan malam dilaporkan turut diseret hampir 60 meter.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.
Bercerita lanjut, Md Tukirin berkata, masih teringat momen dia menghantar anak kedua daripada empat beradik itu pulang ke UiTM Dungun minggu lalu selepas habis cuti semester.
“Baru seminggu lalu saya hantar dia ke UiTM Dungun, tidak sangka hari ini, saya bawa pulang jenazahnya,” ujarnya yang merupakan pemandu lori.
Dalam pada itu, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak UiTM Dungun kerana menguruskan jenazah dengan sebaiknya dan selamat tiba di Kampung Parit Baru pada pukul 4.17 petang.
“Saya reda dengan ketentuan ilahi dan menghargai setiap bantuan dihulurkan sehingga jenazah anak saya selamat dikebumikan di Muar pada petang ini,” katanya.
Ditanya mengenai sebarang kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu SUV, Md Tukirin bagaimanapun menyerahkan perkara tersebut kepada pihak UiTM untuk mengambil tindakan sewajarnya.- MalaysiaGazette