MACHUCA
KELAB Argentina, Velez Sarsfield dilaporkan bakal menamatkan kontrak pinjaman pemainnya yang juga tonggak ‘warisan’ Harimau Malaya, Imanol Machuca berkuat kuasa 30 Jun ini.
Menurut laporan media yang rapat dengan kelab berkenaan, Sabado Velez, pihak pengurusan tertinggi kelab tersebut memutuskan untuk mengaktifkan klausa penamatan yang terkandung dalam kontrak pinjaman pemain berkenaan daripada kelab Brazil, Fortaleza.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Machuca tidak menerima sebarang pembayaran gaji selepas persetujuan bersama dicapai pada akhir Mac lalu untuk meletakkan dia di bawah status cuti tanpa gaji.
Keputusan drastik itu mempunyai kaitan dengan hukuman penggantungan yang sedang dihadapi oleh pemain berkenaan susulan isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya.
Dia tidak dibenarkan beraksi sehingga tempoh penggantungan itu tamat pada 1 November depan.
Meskipun terdapat kemungkinan untuk barisan kejurulatihan menilai semula khidmat beliau pada masa hadapan, keputusan pengurusan setakat ini adalah muktamad dan Machuca tidak lagi akan bersama Velez Sarsfield bermula akhir bulan ini.
Setakat ini, tidak diketahui ke mana hala tuju Machuca sama ada kembali bersama Fortaleza atau akan berpindah ke kelab lain selain ada cadangan daripada peminat yang menyarankan dia beraksi di Liga Malaysia.






