USAHA Liverpool untuk mencari pengganti jangka panjang kepada bintang utama mereka, Mohamed Salah menerima tamparan hebat apabila Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan kini mendahului perlumbaan untuk mendapatkan salah seorang bakat muda terbaik Eropah.
Juara Ligue 1 itu dikatakan semakin hampir untuk memeterai kesepakatan dengan permata muda RB Leipzig, Yan Diomande selepas pemain berkenaan menyatakan persetujuannya untuk berhijrah ke Parc des Princes.
Penasihat Sukan PSG, Luis Campos, dilaporkan tidak membuang masa dalam merencana semula skuad kendalian Luis Enrique.
Dia sedar keperluan untuk menyuntik tenaga baharu dalam pasukan bagi mengelakkan isu keletihan melampau dan bebanan fizikal yang menjejaskan prestasi pemain sepanjang musim yang padat.
Bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab, gergasi Perancis itu telah mengenal pasti keperluan mendesak di bahagian sayap kanan.
Ketika pemain seperti Khvicha Kvaratskhelia dan Bradley Barcola lebih selesa beroperasi di sayap kiri, manakala Ousmane Dembele pula semakin kerap diturunkan di bahagian tengah, posisi sayap kanan kini menjadi fokus utama untuk diperkuatkan.
Diomande yang baru berusia 19 tahun dilihat sebagai profil terbaik untuk mengisi kekosongan berkenaan. Minat mendalam PSG ini menyaksikan mereka bersaing sengit dengan Liverpool yang sebelum ini meletakkan pemain remaja itu sebagai sasaran utama bagi menggantikan Salah.
Bagaimanapun, perlumbaan merebut tanda tangan pemain antarabangsa Ivory Coast itu kini dilihat memihak kepada PSG.
Menurut laporan Sky Germany, Diomande sudah memberikan lampu hijau kepada PSG, sekali gus memberi kelebihan besar kepada kelab tersebut untuk memulakan langkah seterusnya dalam proses perpindahan.
Pengurusan tertinggi PSG dilaporkan akan mengambil langkah rasmi selepas mendapat maklum balas positif dan minat bersama daripada pemain yang disasarkan.
Dalam pada itu, Diomande dilaporkan kurang berminat dengan prospek menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich, meskipun kelab Bavaria itu menunjukkan minat yang serius terhadapnya.
Walaupun sebelum ini dilaporkan tertarik dengan projek masa depan di Anfield, momentum perpindahan kini jelas memihak ke PSG, sekali gus meninggalkan skuad The Reds dengan tugas berat untuk memujuk pemain berkenaan menukar fikirannya.





