am@hmetro.com.my
Beaufort: Jenazah tiga anggota polis yang terkorban akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik selesai bedah siasat dan urusan dokumentasi.
Ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Balai Polis Weston ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, berasal dari Kelantan; dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, berasal dari Terengganu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, semua jenazah sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu bagi menjalani bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris.
“Selepas selesai semua urusan itu, jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan diiringi pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menggunakan galah besi sepanjang 29 kaki untuk mengait buah kelapa.
“Apabila selesai mengait buah kelapa dan cuba mengalihkan galah berkenaan, salah seorang mangsa dipercayai hilang keseimbangan menyebabkan galah itu terkena kabel elektrik utama Sabah Electricity.
“Arus elektrik kemudian mengalir ke galah besi itu dan merenjat ketiga-tiga mangsa.
“Keadaan permukaan kawasan yang juga tanah gambut serta terdapat air bertakung dipercayai turut menyumbang kepada kejadian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang tadi, ketiga-tiga anggota terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang terletak di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.
PM arah siasatan menyeluruh tragedi tiga anggota polis maut di Beaufort
Tragedi renjatan elektrik: Sabah Electricity akan beri kerjasama penuh
3 anggota polis maut: Galah besi terkena kabel elektrik ketika kait buah kelapa
Tiga anggota polis maut terkena renjatan elektrik
© New Straits Times Press (M) Bhd






