TIKET percuma mula diagihkan bagi menyaksikan perlawanan Piala Dunia susulan kebimbangan sesetengah aksi akan berlangsung di dalam stadium yang separuh kosong.
Isu kehadiran penonton kini menjadi kerisauan utama buat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelang sepak mula kejohanan minggu depan memandangkan harga tiket yang terlalu tinggi.
Sebagai contoh, tiket termurah yang tersedia untuk perlawanan pembukaan membabitkan England menentang Croatia pada 17 Jun ini dikesan dijual pada harga AS$898 (RM3,569) di platform jualan semula FIFA pada April lalu.
Meskipun menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak, Presiden FIFA Gianni Infantino tampil mempertahankan penjualan tiket bernilai AS$2 juta (RM7.95 juta) yang muncul di pasaran jualan semula berkenaan.
Bagaimanapun, situasi berbeza dialami penyokong Arab Saudi kerana tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.
Setiap penyokong Arab Saudi ke Amerika Utara layak menerima tiket percuma tersebut sepanjang kejohanan.
Laporan daripada The Sun turut mendedahkan bahawa FIFA telah memberikan ‘lampu hijau’ terhadap strategi agihan tiket percuma berkenaan.
Langkah sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu. Pada kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat (AS) musim panas lalu, FIFA turut mengedarkan tiket percuma bagi meningkatkan jumlah kehadiran penonton ke stadium.
Kedutaan Arab Saudi di AS dalam satu kenyataan baru-baru ini mengumumkan: “Detik pengiraan bermula untuk Piala Dunia FIFA! Sempena kejohanan ini, Arab Saudi menawarkan tiket percuma kepada penyokong skuad kebangsaan yang berada di AS.
“Kami mendoakan kejayaan pasukan kebangsaan yang membawa maruah, semangat, dan sokongan padu seluruh negara di belakang mereka,” katanya.
Tiket bagi perlawanan membabitkan Arab Saudi dalam aksi peringkat kumpulan dijual pada harga setinggi AS$3,000 (RM11,931) dan ribuan tempat duduk dilaporkan masih belum terjual.
Skuad bimbingan Georgios Donis itu dijadualkan bersaing dalam Kumpulan H bersama Sepanyol dan Cape Verde.
Dalam perkembangan sama, FIFA kini berdepan tindakan undang-undang berhubung proses penjualan tiket mereka yang kontroversi.
Peguam Negara New York dan New Jersey sedang mengambil tindakan undang-undang selepas menerima aduan daripada peminat yang mendakwa mereka telah dikelirukan mengenai kategori tiket yang dibeli.
Peguam Negara New Jersey, Jennifer Davenport menegaskan bahawa isu penjualan tiket sepatutnya dikendalikan secara telus.
“Bersikap jujur mengenai penjualan tiket bukanlah perkara yang rumit. Namun, FIFA telah menukar proses pembelian tiket Piala Dunia menjadi satu kekeliruan, manipulasi bekalan, dan mengenakan harga yang sangat mahal. Semuanya terpaksa ditanggung oleh pengguna serta penduduk New Jersey.
“Kami komited untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan FIFA ini, dan kami berbangga dapat bekerjasama dengan Peguam Negara James dalam melindungi pengguna.
“Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia, tetapi penganjuran ini bukan tiket untuk mengeksploitasi penduduk dan pelawat kami,” kata Davenport.






