McIlroy pamer keajaiban

McIlroy pamer keajaiban


Augusta, Amerika Syarikat: Rory McIlroy mempamerkan penamat antara paling menakjubkan dalam sejarah golf utama apabila membenam enam birdie dalam tujuh lubang terakhir untuk mendahului dengan enam pukulan selepas 36 lubang di Masters.

Mengharungi keadaan lapangan yang pantas dan mencabar di Augusta National, McIlroy mencatat tujuh bawah par 65 pada pusingan kedua untuk mengumpul 12 bawah par 132 di pertengahan kejohanan major pertama tahun ini.

Pemain nombor dua dunia itu menutup aksi dengan cemerlang termasuk membenam pukulan chip sejauh 29 ela di lubang ke-17 par empat serta melengkapkan birdie dari jarak enam kaki di lubang ke-18 untuk memecahkan rekod lama pendahuluan 36 lubang iaitu lima pukulan.

“Ia satu penamat yang menakjubkan,” kata McIlroy.

“Ketika saya berada di tee lubang ke-12, saya tidak membayangkan akan mendahului enam pukulan menjelang hujung minggu.”

McIlroy, yang memburu gelaran Masters berturut-turut dan menjadi pemain keempat melakukannya, membenam putt birdie tujuh kaki di lubang ke-12 par tiga dan lubang ke-13 par lima untuk mengambil alih pendahuluan.

Dia menambah satu lagi dari jarak 10 kaki di lubang ke-15 par lima serta melengkapkan putt birdie tiga kaki di lubang ke-16 par tiga.

Aksi luar biasanya diteruskan dengan pukulan chip masuk di lubang ke-17 sebelum pukulan menghampiri enam kaki di lubang ke-18 diakhiri dengan putt kemas bagi mencatat birdie keempat berturut-turut.

“Lapangan ini memberi peluang untuk mencipta momentum,” kata McIlroy.

“Bagi saya, ia mengenai kekal bertenang sehingga saya benar-benar bersedia untuk melakukannya.”

Juara Masters 2018, Patrick Reed terlepas putt enam kaki dan mencatat bogey di lubang ke-18 untuk merakam 69, berkongsi tempat kedua bersama rakan senegara, Sam Burns dengan keseluruhan 138.

Pemain England, Justin Rose yang tiga kali muncul naib juara Masters serta rakan senegara Tommy Fleetwood, yang masih memburu gelaran major sulung, berkongsi kedudukan keempat bersama Shane Lowry dari Ireland dengan 139.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top