‘Neymar sebenarnya tak mahu ke Piala Dunia 2026’ – Luizao

‘Neymar sebenarnya tak mahu ke Piala Dunia 2026’ – Luizao


DEBAT mengenai penglibatan Neymar dalam Piala Dunia 2026 semakin hangat selepas bekas penyerang Brazil, Luizao tampil mempersoalkan komitmen dan keinginan bintang dunia itu untuk terus mewakili negaranya.

Menjelang kejohanan berprestij itu, Luizao mendakwa pemain itu tidak lagi mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memimpin skuad Selecao di pentas dunia.

Bercakap dalam program World Champion with Galvão di saluran N Sports, Luizao yang juga pemenang Piala Dunia 2002 tidak berselindung dalam mengkritik mentaliti penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil itu.

“Saya rasa Neymar sebenarnya tidak mahu pergi ke Piala Dunia (2026),” kata Luizao.

Luizao, yang merupakan wira kelab Corinthians ketika era kegemilangannya, melihat wujudnya kekurangan inisiatif daripada Neymar dalam membina hubungan yang kukuh dengan struktur pasukan kebangsaan ketika ini.

Malah, dia membuat perbandingan drastik antara situasi Neymar sekarang dengan kebangkitan luar biasa legenda Ronaldo Nazario sebelum Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.

Ronaldo pada ketika itu berjaya mengatasi kecederaan lutut yang hampir menamatkan kerjayanya sebelum bangkit mengetuai Brazil menjulang trofi Piala Dunia kelima mereka – satu tahap kelaparan (kejayaan) yang menurut Luizao tidak kelihatan pada Neymar.

“Apabila kita mahukan sesuatu, seperti mana Ronaldo mahukannya… saya sendiri akan mencari jurulatih untuk berbincang, dan jurulatih juga akan mencarinya. Apabila kita mahu, kita akan mengejarnya,” ujarnya.

Selain mengkritik pemain secara individu, Luizao turut menyentuh aspek pengurusan pasukan kebangsaan Brazil dengan menyokong keperluan jurulatih yang mempunyai disiplin tinggi seperti Carlo Ancelotti.

“Saya fikir pemain-pemain ini memerlukan jurulatih yang tegas,” katanya sambil mengenang kembali betapa tingginya nilai menyarung jersi kuning Brazil suatu ketika dahulu.

“Saya masih ingat, saya terpaksa menyewa tuksedo semata-mata mahu menyertai pasukan kebangsaan remaja,” ujarnya.

Untuk rekod, Luizao mempunyai profil yang cukup gah dalam bola sepak Brazil apabila memenangi Piala Dunia 2002, pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996, serta menjulang Copa Libertadores bersama Vasco da Gama dan Sao Paulo.

Kini, persoalan besar tetap terarah kepada Neymar sama ada dia mampu membuktikan kritikan itu salah dan kembali menyertai skuad kebangsaan selepas tidak beraksi untuk Brazil sejak tahun 2023 akibat kecederaan panjang.



Source link

OR

Scroll to Top