FAS nafi bincang calon kepimpinan baharu FAM

FAS nafi bincang calon kepimpinan baharu FAM


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan dilakukan bersama persatuan bola sepak negeri lain berhubung pemilihan barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, setakat ini pihaknya belum sampai ke peringkat untuk mengetengahkan mana-mana calon memandangkan kongres pemilihan FAM sendiri masih belum mempunyai tarikh yang spesifik.

Menurutnya, perbincangan umum atau pertukaran pandangan memang ada berlaku seperti biasa, namun ia tidak pernah menjurus kepada strategi pemilihan atau soal siapa yang bakal bertanding.

“Tidak, tiada perbincangan dengan FA lain. Berbincang mengenai pertukaran idea itu ada. Perkara itu biasa, tetapi orang kata nak strategi, siapa nak bertanding, kita tak pernah sampai ke situ lagi.

“Namun, yang pasti satu perubahan ketara harus berlaku untuk bola sepak negara, ia bermula daripada FAM itu sendiri,” katanya.

Semua kerusi dalam FAM kosong susulan peletakan jawatan secara berjemaah oleh Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu pada Januari lalu, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kepimpinan baharu.

Bagaimanapun, proses pemilihan itu dijangka hanya akan berlangsung selepas Piala Dunia, tertakluk kepada selesainya audit yang sedang dijalankan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap FAM.

Sebelum ini, dilaporkan mana-mana individu yang berminat untuk mengisi kekosongan kerusi dalam FAM perlu terus bersabar kerana Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) belum boleh diadakan selagi audit AFC belum diselesaikan sepenuhnya.

Malah, tempoh kekosongan itu boleh berlanjutan sekiranya AFC mendapati FAM perlu melakukan pindaan terhadap statut sedia ada sebelum bergerak ke proses seterusnya.

Perkembangan itu turut disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang menjelaskan bahawa pihaknya masih perlu menunggu kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) selain hasil komprehensif audit AFC sebelum EGM dapat dilaksanakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top