Mugello: Juara dunia MotoGP, Marc Marquez dijangka kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini selepas menjalani dua pembedahan susulan kemalangan di Le Mans awal bulan ini.
Pasukan Ducati mengesahkan pelumba Sepanyol itu akan ke Mugello selepas menerima perkembangan positif daripada pemeriksaan perubatan terbaru.
Marquez sebelum ini terlepas GP Perancis dan Catalunya selepas mengalami patah kaki akibat kemalangan ‘highside’ ketika perlumbaan pecut di Le Mans.
Pelumba berusia 33 tahun itu menjalani pembedahan patah tulang metatarsal selain turut menjalani pembedahan bahu yang pada asalnya dijadualkan selepas GP Catalunya.
“Selepas pemeriksaan perubatan positif, Marc akan ke Mugello esok.
“Dia dijadual menjalani pemeriksaan terakhir di litar pada Khamis bagi mendapatkan kebenaran cergas untuk berlumba di GP Itali,” menurut kenyataan Ducati.
Dalam perkembangan sama, pelumba ujian Ducati, Michele Pirro akan menggantikan Alex Marquez di pasukan Gresini Racing.
Alex terpaksa diketepikan selepas mengalami kemalangan ngeri di GP Catalunya yang menyebabkan kecederaan tulang belakang berhampiran leher serta patah tulang selangka kanan.
Pelumba Sepanyol itu dijangka terlepas aksi di Itali dan Hungary.
© New Straits Times Press (M) Bhd






