London: Nottingham Forest melantik bekas pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner sebagai pengurus baharu mereka, hari ini.
Glasner meninggalkan Palace pada penghujung musim lalu selepas membawa kelab itu muncul juara Liga Konferens UEFA.
Beliau turut menghadiahkan trofi utama pertama buat Palace apabila menewaskan Manchester City pada perlawanan akhir Piala FA 2025.
Glasner menjadi pengurus kelima Forest dalam tempoh setahun selepas Nuno Espirito Santo, Ange Postecoglou, Sean Dyche dan Vitor Pereira.
“Saya amat gembira menyertai Nottingham Forest sebagai ketua jurulatih,” kata Glasner.
“Sejak perbincangan pertama saya dengan pemilik kelab dan barisan kepimpinan, saya dapat melihat mereka mempunyai visi yang jelas untuk kelab ini serta kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap saya dan barisan kejurulatihan untuk membina masa depan yang kukuh bersama dalam jangka panjang.
“Nottingham Forest ialah sebuah kelab yang mempunyai prestij dan sejarah luar biasa, juara Eropah dua kali serta memiliki antara penyokong paling bersemangat dalam bola sepak.
“Matlamat kami adalah untuk membina sebuah pasukan yang mampu membawa kelab ini ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang dan menjadi kebanggaan penyokong.”
Glasner menggantikan bekas pengurus Wolverhampton Wanderers, Vitor Pereira yang dipecat secara mengejut, minggu lalu.
Sebelum ini, Glasner pernah dikaitkan dengan AC Milan, namun jawatan itu akhirnya diisi bekas pengurus Manchester United, Ruben Amorim.
Baru-baru ini, beliau turut dikaitkan dengan kekosongan jawatan ketua jurulatih Jerman selepas Julian Nagelsmann meletakkan jawatan susulan penyingkiran negara itu daripada Piala Dunia.
Jurulatih kelahiran Austria berusia 51 tahun itu, yang menyertai Palace pada 2024, turut membimbing Eintracht Frankfurt muncul juara Liga Europa pada musim 2021-22.
Forest menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ke-16, satu anak tangga dan satu mata di belakang Palace.
“Dalam perbincangan kami dengan Oliver, jelas kami berkongsi visi, cita-cita dan keinginan yang sama untuk mencapai kejayaan,” kata pemilik Forest, Evangelos Marinakis.
“Sepanjang kariernya, beliau sentiasa membuktikan kemampuan membina pasukan yang hebat dan meraih kejayaan ketika berdepan saingan paling sengit.
“Cita-cita kami bukan sekadar untuk bersaing, tetapi untuk menang, mencabar kejuaraan utama dan membina sebuah kelab bola sepak yang mampu dibanggakan penyokong kami untuk bertahun-tahun akan datang.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






