Pelakon, Fatin Afeefa menyorot perhatian ramai apabila mengimbau kembali perjalanan menjadi ibu tunggal yang terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara anak-anak tanpa nafkah daripada bekas suami.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Fatin atau nama lengkapnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin, berkata dia juga terpaksa berkorban waktu tidur yang tidak mencukupi, selain mencatu makanan bersama tiga beranak.
“Buat multiple jobs, tidur tiga hingga empat jam saja sehari dulu. Alhamdulillah, awal-awal saja catu makanan kongsi bertiga.
“Lepas itu mencurah sampai sekarang,” katanya.
Aktres filem popular Tentang Bulan ini turut menitipkan pesanan kepada golongan ibu tunggal agar mengutamakan anak-anak agar dikurniakan rezeki melimpah-ruah.
“Dahulukan anak-anak, awak akan nampak hidup tak akan rasa kurang,” katanya.

Fatin berkata demikian ketika membalas ciapan seorang individu yang bertanya bagaimana ibu tunggal bertahan dalam hidup selepas melalui perceraian.
Sekadar info, Fatin mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Aliff Awang atau lebih mesra dikenali sebagai Opai pada Disember 2022 dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Sebelum itu, Fatin pernah berkahwin buat kali kedua bersama aktor, Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun bercerai pada 30 Mei 2017. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Sebelum berkahwin dengan Adam, Fatin mempunyai seorang anak lelaki, Adam Aisy Arrian hasil perkahwinan terdahulu.






