Hatrik Mbarga bantu KRW FC belasah ‘budak U’ 6-0

Hatrik Mbarga bantu KRW FC belasah ‘budak U’ 6-0


KOTA BHARU: Hatrik Emmanuel Mbraga membantu Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) meraih kemenangan besar dengan membelasah pasukan ‘budak U’ atau Malaysia Universiti FC 6-0 pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Pesta tuan rumah bermula seawal minit ke-11 apabila rembatan deras Philip Musa gagal ditangkap kemas oleh penjaga gawang Malaysia Universiti Azim Nazri Issan seterusnya bergolek melepasi garisan gol.

Terkejut dengan jaringan itu, MUFC cuba bangkit menyamakan kedudukan dan berjaya melakukan beberapa percubaan, namun belum berjaya menggugat Shafiq Afifi di pintu golnya.

Minit ke-33, penyokong tuan rumah terus bersorak gembira apabila Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali meledakan gol kedua KRW FC selepas tenang menyudahkan hantaran sepasukan.

Pasukan tuan rumah hampir berjaya menambah jaringan pada penghujung masa perlawanan namun sepakan percuma Emmanuel Mbarga berjaya ditepis keluar oleh Azim Nazri sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, ayam tambatan KRW FC Mbarga menambah derita ‘budak U’ menerusi jaringan ketiga pada minit ke-61.

Selang tujuh minit kemudian, Mbarga terus membuktikan ketajaman penyudah dengan meledakkan jaringan kedua peribadinya menjadikan KRW FC selesa mendahului 4-0.

Minit ke-71, Musa meledakan gol kelima tuan rumah menerusi sepakan deras yang gagal diselamatkan oleh Azim Nazri.

Mbarga meledakkan jaringan hatriknya pada minit ke-81, sekali gus melengkapkan malam cemerlang KRW di gelanggang keramat mereka.

Kemenangan besar itu menyaksikan KRW mendaki dua anak tangga untuk berada di kedudukan kelima dengan mengumpul 38 daripada 22 perlawanan.

Sementara itu, Malaysia University kekal di tangga ke-12 dengan 16 mata dari 23 perlawanan.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top