am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, kami sekeluarga sangat bersyukur atok (datuk) sudah ditemui dalam keadaan selamat dan sihat. Terima kasih semua yang membantu kami,” kata Suriyana Samsuri.
Wanita berusia 25 tahun itu cucu kepada Ismail Rasep, 76, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak sejak 18 Mei lalu.
Ismail ditemui di kawasan Alam Damai, Cheras pada 9.40 malam tadi (Ahad).
Suriyana berkata, mereka sekeluarga tidak tenang dan sentiasa dalam kerisauan sejak datuknya hilang tiga minggu lalu.
“Terima kasih kepada semua yang membantu kami terutama polis, orang awam yang membantu dan media yang menguar-uarkan berita kehilangan atok,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman mengesahkan warga emas berkenaan ditemui anggota Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Setapak.
“Dia ditemui anggota dalam keadaan sihat dan dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum diserahkan kepada warisnya,” katanya.
Menurutnya, Ismail yang mempunyai penyakit kurang daya ingatan sebelum ini dilapor hilang selepas keluar dari rumah tanpa pengetahuan menantu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






