am@hmetro.com.my
Alor Setar: Enam yang maut dalam kemalangan kenderaan utiliti sukan (SUV) dan lori tanah di Jalan Pinang Tunggal dekat Sungai Petani, petang tadi disahkan sekeluarga membabitkan suami isteri dan anak mereka, ibu, adik serta anak saudara.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, pemandu SUV adalah Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, iaitu anggota polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.
“Mangsa maut lain adalah adiknya, Ahmad Fahim, 21, yang juga jurujual kedai telefon dan ibu mereka, Nora Mohd Husin berusia 55 tahun.
“Turut terkorban isteri Ahmad Syafiq iaitu Jamaliah Sannusi, 29, seorang jururawat di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, anak mereka Ahmad Mikail yang berusia dua bulan serta anak saudara, Iskandar Affan Ibrahim, 7.
“Seorang lagi anak Ahmad Syafiq, Aulia Sofea, 3, parah di bahagian muka, kini dirawat dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani,” katanya ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam tadi.
Terdahulu, Adzli meluangkan masa melihat proses bedah siasat mangsa dan menziarahi ahli keluarga.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan yang tular di media sosial itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, pemandu lori warga tempatan berusia 47 tahun yang ditahan susulan kemalangan itu juga akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kemalangan itu.
“Secara personal (peribada), ada yang menghantar WhatsApp kepada saya mengatakan mangsa berlainan bangsa dan saya rasa spekulasi ini sangat tidak bertanggungjawab dan biarlah polis menjalankan siasatan.
“Apa yang saya tahu, kereta SUV itu masih baharu, pagi tadi baru dikeluarkan dengan plastik belum dikoyak. Namun kita sedang menyiasat secara menyeluruh,” katanya.
Dalam kejadian 3.50 petang tadi, enam sekeluarga termasuk bayi meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah dalam kemalangan di Jalan Pinang Tunggal dekat Sungai Petani.
© New Straits Times Press (M) Bhd






