Penyanyi kumpulan Elite, Azza Zawari mengambil keputusan untuk tidak menghadiri jemputan rumah terbuka Aidilfitri kerana bimbang kehadiran anaknya, Adam, boleh menimbulkan rasa kurang selesa kepada tuan rumah dan tetamu lain.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 49, menjelaskan anak lelakinya yang kini berusia lapan tahun memerlukan perhatian lebih selepas disahkan menghidap autisme ringan tahap dua. Katanya, keputusan tersebut dibuat bagi menjaga sensitiviti semua pihak selain mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini.
“Ada rumah terbuka kalau buat di rumah saya minta maaf tak hadir, saya risau kehadiran saya dan Adam akan timbulkan rasa tak best sebab Adam autism.
“Karang dia usik pemainan apalah, jadi saya memang ambil keputusan tidak hadir mana-mana rumah terbuka yang dibuat di dalam rumah. Kalau ada khemah tak apa sebab saya tahu Adam behave.
“Tapi dia masih budak autisme, jadi nampak mainan kang dia ambil macam mana, baik tak payah datang. Saya pun tak boleh kalau orang mengata dan marah anak saya,” katanya menerusi hantaran Thread.

Menurutnya lagi, keputusan tersebut juga dibuat selepas berdepan satu pengalaman yang menyentuh perasaan, selain menyedari tidak semua orang memahami keadaan anak istimewanya itu.
Azza turut berkongsi bagaimana hatinya tersentuh apabila melihat anaknya dipinggirkan oleh rakan sebaya, malah ada yang bertindak merampas mainan yang sedang dimainkan Adam.
“Saya nampak saja orang rampas mainan dari anak saya sebab Adam tengah main. Budak-budak lain tak nak kawan dengan anak saya sebab dia autism.
“Kasihan anak saya, mainan kereta jangan cakaplah mak dia Azza Elite kut selambak dekat rumah ini,” luahnya.
Sebagai seorang ibu, Azza mengakui lebih selesa meluangkan masa di rumah bersama anaknya kerana merasakan ia adalah persekitaran terbaik buat Adam.
Namun begitu, dia tetap membawa anaknya ke lokasi tertentu yang lebih sesuai dan terkawal seperti hotel atau tempat yang tidak terlalu sesak.
“Kitanya cepat terperanjat, sebelum saya terperanjat lebih baik saya atau suami tak bawa. Nak pergi sendiri saja tapi saya pula tak sanggup, baik duduk rumah.
“Saya pula ibu yang melindungi, jadi saya bahagia saja duduk di rumah atau makan fine dinner dekat mana-mana.
“Sebab kalau dekat luar Adam behave saja walaupun saya bawa dia ke hotel. Cuma bila dekat rumah orang ini saya paranoid sikit,” luahnya.






