Mungkin kerana dia berada di fasa hidup ‘kacau’ – Yonnyboii

Mungkin kerana dia berada di fasa hidup ‘kacau’ – Yonnyboii


Dunia hiburan tempatan kembali hangat apabila seorang pempengaruh Melayu Islam mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat selepas tindakannya mencacah tatu pada anggota badan menjadi perhatian umum.

Isu berkenaan bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi netizen, malah turut mendapat perhatian penyanyi muda popular, Yonnyboii yang tampil memberikan pandangan secara matang dan penuh empati terhadap situasi tersebut.

Menurut Yonnyboii, masyarakat seharusnya tidak terlalu cepat menghukum tanpa memahami realiti kehidupan seseorang individu.

“Saya rasa tidak perlu untuk terlalu marah kepadanya, kerana kita sendiri pun bukanlah sempurna. Kalau nak marah atau nak tegur dia pun, kita kena ingat kita pun ada kekurangan kita sendiri

“ Kita tak tahu sepenuhnya apa yang dia lalui, macam mana keadaan hidup dia, dan apa yang mendorong dia buat keputusan itu. Saya sendiri tak nak fikir buruk pasal dia, sebab mungkin itu adalah pilihan hidup dia dan kita tak berada di tempat dia untuk menilai secara menyeluruh,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya lagi, setiap manusia mempunyai perjalanan hidup dan ujian yang berbeza, yang kadangkala tidak terlihat di mata orang lain.

“Bagi saya, setiap orang ada struggle masing-masing. Ada orang mungkin lalui benda yang sangat berat dalam hidup, kehilangan orang tersayang, masalah keluarga, dan macam-macam lagi, tapi masih kena teruskan kehidupan.

“Ada juga yang mungkin nampak  pergelutan dia kecil pada kita, tapi bagi dia itu besar. Jadi saya faham apa yang dia cuba sampaikan, bila dia kata dia buat keputusan yang salah, keputusan yang tak boleh nak patah balik, itu memang realiti yang ada,”ujarnya.

Dalam masa sama, penyanyi itu tidak menafikan bahawa manusia boleh terjerumus dalam keputusan kurang bijak apabila berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

“Kadang-kadang bila seseorang itu berada dalam fasa hidup yang sangat kacau, mungkin sepanjang tahun hidup dia rasa hancur, dia mula terpengaruh dengan pemikiran negatif. Dalam keadaan itu, dia mungkin rasa nak rosakkan diri sendiri, nak buat macam-macam benda tanpa fikir panjang.

“Jadi bila benda itu berlaku, saya faham kenapa dia buat tatu itu, sebab itu mungkin datang daripada keadaan emosi yang dia sedang lalui,”jelasnya.

Namun begitu, Yonnyboii berpendapat bahawa tidak semua perkara perlu dikongsikan kepada umum, khususnya hal peribadi yang sensitif.

Mengulas aspek lebih sensitif, penyanyi berusia 27 tahun itu  turut mengingatkan agar isu berkaitan agama tidak dipermainkan atau dijadikan bahan perdebatan terbuka.

“Perkara yang melibatkan agama tu jangan dibawa main. Kita kena ingat Tuhan tahu apa niat kita, kenapa kita buat sesuatu, kenapa kita berdoa. Itu antara kita dengan Tuhan. Jadi tak perlu nak buka semua benda kepada orang atau jadikan itu sebagai sesuatu yang perlu disahkan oleh masyarakat,”katanya.

Selain itu, Yonnyboii menegaskan bahawa tidak semua perkara perlu dikongsi kepada umum, sebaliknya apa yang lebih penting adalah melakukan perkara yang betul dalam kehidupan.

“Bagi saya, tak perlu kongsi semua benda. Bukan semua orang perlu tahu cerita hidup kita. Yang penting kita tahu apa yang kita buat, kita belajar daripada kesilapan, dan kita cuba buat perkara yang betul,”katanya.



Source link

OR

Scroll to Top