Dua beranak di Rantau Panjang, Kelantan yang disyaki mengedar ganja menggunakan kaedah penghantaran terus ke alamat pembeli melalui perkhidmatan kurier ditahan Sabtu lalu.
Dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Banggol Kulim kira-kira pukul 1 petang, polis menemukan 40 kilogram (kg) ganja.
Selain menyediakan perkhidmatan kurier, premis itu juga berselindung di sebalik perkhidmatan insurans kenderaan untuk masuk ke Thailand dan jualan buah-buahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata dua beranak berkenaan membabitkan bapa berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun.
“Susulan pemeriksaan, polis menemukan satu bungkusan di belakang premis yang mengandungi 40kg tumbuhan kering dipercayai dadah jenis ganja bernilai RM120,000.
“Menerusi siasatan awal, kita dapati bapa berkenaan berperanan sebagai koordinator manakala anaknya sebagai runner.
“Mereka dipercayai menghantar bekalan dadah itu menggunakan perkhidmatan kurier dan premis terbabit adalah milik mereka.
“Selain menyediakan perkhidmatan kurier, premis itu turut menjual insurans kenderaan Thailand selain menjual buah buahan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan hari ini.
Mohd Yusof berkata, polis turut menyita premis, sebuah kenderaan, motosikal dan wang tunai RM184, 000.
Nilai rampasan itu termasuk ganja yang dipercayai untuk kegunaan 80,000 pengguna di dalam dan luar negara pula hampir RM1 juta, katanya.
“Dua beranak itu kini ditahan reman tujuh hari hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau.





