Pelakon Azira Shafinaz berkata dia turut tertanya-tanya mengapa lelaki takut untuk mendekati dirinya serta tidak menolak kemungkinan wajahnya yang kelihatan garang antara punca.
Memetik mStar Online, Azira berkata dia terbuka untuk berkawan serta membawa hubungan ke fasa lebih serius jika ada calon sesuai.
BACA: 12 Tahun Bercinta, Azira Shafinaz Dah Putus Dengan Kekasih
“Mungkin sebab saya nampak garang? Kawan-kawan saya pun ada cakap perkara sama. Bukan takut apa, tapi mungkin mereka segan atau kurang yakin untuk dekati saya pada tahap kehidupan saya sekarang. Hakikatnya saya seorang yang sangat mudah didekati dan suka berkawan.
“Kalau ada yang mendekati dan saya rasa dia sesuai untuk dijadikan calon suami, siapa tahu dan mungkin ada jodoh,” katanya.
Bagaimanapun, Azira berkata dia bahagia menjalani kehidupan sekarang serta tidak mahu menjadikan soal kahwin sebagai satu tekanan.
“Buat masa ini, saya bahagia dengan kehidupan sendiri. Saya tak telalu memikirkan soal usia yang semakin meningkat.
“Tipulah kalau kata langsung tak terfikir, tapi tak mahu menjadikannya sebagai tekanan untuk kahwin cepat,” katanya.
Dalam pada itu, Azira berkata dirinya seorang yang pemalu dan tidak memulakan langkah untuk mendekati lelaki.
Tambahnya, dia menghargai lelaki yang menunjukkan usaha walaupun dalam perkara kecil meskipun hanya bertanya khabar.
“Sejujurnya saya jenis yang pemalu dan tidak akan memulakan langkah untuk mendekati lelaki terlebih dahulu. Saya faham mungkin saya nampak sukar didekati.
“Tapi jika lelaki itu menunjukkan usaha, saya sangat menghargainya. Saya suka lelaki yang berusaha, walaupun melalui perkara kecil. Perkara sederhana seperti bertanya sama ada saya dah makan pun sudah memadai,” katanya.
Sumber: mStar Online






