Iran beri amaran akan tenggelamkan kapal AS

Iran beri amaran akan tenggelamkan kapal AS

Iran beri amaran akan tenggelamkan kapal AS


Tehran: Penasihat ketenteraan kepada pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, pada Rabu memberi amaran Iran akan menenggelamkan kapal Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz, jika negara itu memutuskan untuk “mengawal” laluan perkapalan penting berkenaan.

AS sedang menyekat Selat Hormuz secara ketenteraan selepas Iran menghalang kapal-kapal daripada melalui kawasan itu sepanjang lebih enam minggu perang dalam konflik yang kini ditangguhkan dengan gencatan senjata rapuh selama dua minggu masih berkuat kuasa.

“Encik Trump mahu menjadi polis di Selat Hormuz. Adakah ini benar-benar tugas anda? Adakah ini tugas tentera kuat seperti AS?” kata Mohsen Rezaei, bekas ketua komander Pengawal Revolusi Iran yang dilantik sebagai penasihat ketenteraan oleh Mojtaba pada bulan lalu, kepada televisyen negara.

“Kapal-kapal anda akan ditenggelamkan oleh peluru berpandu pertama kami dan ini mewujudkan bahaya besar kepada tentera AS. Kapal-kapal itu pasti boleh menjadi sasaran peluru berpandu kami dan kami boleh memusnahkannya,” kata Rezaei, sambil memakai pakaian seragam tenteranya, kepada penyiar negara.

Dikenali sebagai tokoh berhaluan keras walaupun dalam kalangan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) iaitu tentera ideologi Iran, Rezaei berkata, ia akan menjadi “perkara yang baik” jika AS melancarkan pencerobohan darat ke atas Iran kerana “kami akan menawan ribuan tebusan dan bagi setiap tebusan kami akan mendapat satu bilion dolar.”

Beliau turut menambah tanpa memberikan butiran lanjut “Saya langsung tidak menyokong lanjutan gencatan senjata ini dan ini adalah pandangan peribadi saya.”

Seorang veteran dan tokoh berprofil tinggi di Iran, Rezaei mengetuai IRGC dari 1981 hingga 1997.

Rundingan pertama dan satu-satunya setakat ini antara Iran dan AS selepas perang bermula diketuai di Pakistan oleh Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang dahulunya ialah komander pasukan aeroangkasa IGRC.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top