Mira Filzah sedia timang cahaya mata kedua

Mira Filzah sedia timang cahaya mata kedua

Mira Filzah sedia timang cahaya mata kedua


KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Mira Filzah mengakui dirinya sudah bersedia sekiranya dikurniakan rezeki untuk menambah seorang lagi cahaya mata dalam masa terdekat.

Mira atau nama lengkapnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 33, berkata, dia dan suaminya, Wan Emir Astar, sudah berbincang mengenai perkara tersebut dan masing-masing bersetuju dengan perancangan berkenaan.

“Saya sudah bersedia untuk ada seorang lagi anak. Saya rasa sekarang ini adalah masa yang agak sesuai untuk tambah ahli keluarga baharu.

“Anak sulung saya, Amir pun sudah berusia empat tahun dan tahun depan akan masuk lima tahun. Jadi mungkin ini waktu yang baik.

“Suami okay sahaja dengan perancangan ini. Dia kata semuanya bergantung kepada saya.

“Insya-Allah, kami memang berharap dikurniakan rezeki untuk anak kedua. Kami juga mohon doa daripada semua agar dipermudahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana Viu Original Aku Pilih Pelangi yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mira turut berkongsi hasrat untuk memperlahankan sedikit rentak kerjaya lakonannya bagi memberi lebih tumpuan kepada keluarga, khususnya anak yang sedang membesar.

Katanya, selepas menyelesaikan penggambaran projek terbaharu, dia merancang untuk berehat seketika memandangkan jadual kerjanya sebelum ini agak padat tanpa henti.

“Saya bercadang untuk berehat lebih lama selepas ini sebab sejak tahun lepas saya terlibat dengan penggambaran tanpa henti.

“Sebagai ibu, saya rasa bersalah juga sebab anak sekarang sudah pandai bertanya kenapa saya tidak bermain dengannya atau mengambilnya di sekolah.

“Amir anak lelaki seorang, tiada adik-beradik lain, jadi memang dia banyak bergantung kepada kami untuk bermanja.

“Kalau saya tidak terikat dengan penggambaran, memang saya yang akan ambil dia di sekolah. Kalau saya sibuk, ayahnya yang akan uruskan,” ujarnya.

Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir Astar pada September 2020 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir pada 2021.



Source link

OR

Scroll to Top