Dulu juara EPL, kini Leicester City jatuh ke divisyen tiga

Dulu juara EPL, kini Leicester City jatuh ke divisyen tiga


LEICESTER City mengalami kemerosotan paling tragis dalam sejarah kelab apabila sah tersingkir ke saingan divisyen tiga bola sepak Inggeris, tepat sedekad selepas mereka mengejutkan dunia dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Foxes yang baru sahaja tersingkir dari EPL ke saingan Championship musim lalu, kini terpaksa menelan kepahitan jatuh liga buat kali kedua berturut-turut selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Hull City di Stadium King Power.

Keputusan itu menyaksikan Leicester kini menduduki tangga ke-23 liga dengan kutipan 42 mata daripada 44 perlawanan, tujuh mata di belakang zon selamat dengan baki hanya dua perlawanan sahaja lagi.

Pengurus Leicester, Gary Rowett yang dilantik pada Februari lalu mengakui kegagalan tersebut amat memeritkan untuk diterima oleh seluruh penyokong kelab itu.

“Sangat mengecewakan. Jika dilihat secara keseluruhan, anda bukan tersingkir disebabkan tiga atau empat perlawanan, tetapi anda tersingkir disebabkan prestasi sepanjang musim.

“Kelab ini pernah menjulang trofi EPL tidak lama dahulu dan ia adalah pencapaian luar biasa.

“Kini, kita semua perlu berasa amat kecewa dengan apa yang berlaku sekarang. Kelab ini perlu bangkit semula dan belajar daripada kesilapan,” katanya.

Dalam aksi di King Power yang menyaksikan banyak kerusi kosong, Leicester pada mulanya ketinggalan menerusi jaringan Liam Miller pada minit ke-18 akibat kesilapan penjaga gol, Asmir Begovic.

Tuan rumah cuba bangkit memberi sinar harapan apabila Jordan James menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti (m-52) sebelum Luke Thomas meletakkan mereka di hadapan dua minit kemudian. Bagaimanapun, kegembiraan itu hanya bertahan sembilan minit apabila Oli McBurnie menyamakan kedudukan buat Hull pada minit ke-63.

Untuk rekod, Leicester pernah berada di puncak dunia pada musim 2015-16 apabila bimbingan Claudio Ranieri memenangi EPL sebagai pasukan ‘underdog’.

Namun, sejak pemergian pemiliknya, Vichai Srivaddhanaprabha dalam nahas helikopter pada 2018, kelab itu mula bergelut. Walaupun pernah memenangi Piala FA pada 2021, musim ini mereka dihukum pemotongan enam mata kerana melanggar peraturan kewangan (PSR) yang menjadi antara punca kejatuhan mereka.

Musim depan, Leicester bakal berdepan pasukan kerdil seperti Bromley, sebuah kelab yang menghabiskan hampir keseluruhan sejarahnya dalam liga amatur dan hanya mempunyai stadium berkapasiti 5,000 penonton.



Source link

OR

Scroll to Top