Penyanyi Liza Hanim kesal apabila kemenangan anaknya, Marsya Qistina menerusi program hiburan realiti baru-baru ini kembali menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen.
Kata Liza, dia berasa kurang selesa selepas seorang individu didakwa merupakan seniornya tampil memperlekehkan anaknya itu.
“Wow, ada yang tengah libve tenagh cakap macam ni, “Yang juara pun ada yang tak kemana, biar saya juara dihati anda semua je,”. katanya menerusi hantaran di Instagram Story.


Bagaimanapun, enggan mengambil pusing dengan sindiran tersebut, pelantun lagu popular, Gelisah Mimpi itu memilih untuk berfikiran positif selain mengakui dirinya kurang selesa untuk terlalu rapat dengan orang luar.
“Tak apa, husnuzon sahaja lah. Sebab ni lah saya tak gemar nak rapat dekat luar. Ada senyum tapi dalam hati akan keluar jua di live kebenarannya,” jelasnya.

Terdahulu, Liza memilih untuk bertenang selepas membuat laporan polis susulan isu buli siber yang membabitkan anaknya, Marsya Qistina.
Ia susulan, terhadap segelintir netizen yang didakwa cuba mengeruhkan hubungan Marsya dengan peserta lain dalam program Talk To My Manager (TTMM) dengan membandingkan rezeki masing-masing.
Malah, ibu kepada lima cahaya mata itu turut terkilan apabila Marsya menjadi sasaran kecaman netizen yang mendakwa anaknya kurang menyerlah walaupun pernah menjuarai pertandingan program realiti.






