DALAM landskap industri makanan dan minuman yang semakin kompetitif kini, pensijilan halal memainkan peranan penting terutamanya kepada pengguna Muslim yang diwajibkan mencari yang halal.
Atas sebab itu, banyak jenama antarabangsa yang memasuki pasaran tempatan memberi perhatian serius terhadap aspek pematuhan syariah dan keyakinan pengguna.
Antara jenama yang turut mengambil langkah proaktif ke arah itu termasuklah Luckin Coffee apabila pihak pengurusan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan pematuhan halal dilaksanakan secara menyeluruh sejak dari awal iaitu peringkat rantaian hinggalah ke operasi cawangan.
Pengurus Halal, Pematuhan dan Hubungan Kerajaan, Hectar Luckin (M) Sdn Bhd, Ustaz Ahmad Aminurrashid Abd Aziz menjelaskan, peranan utama beliau sejak bersama dengan Luckin Coffee pada 2024 adalah untuk memastikan setiap proses berjalan mengikut piawaian yang ditetapkan.
USTAZ AHMAD AMINURRASHID
“Selain itu, kami juga perlu menterjemahkan segala keperluan halal itu ke dalam bentuk operasi harian yang praktikal.
“Halal tidak seharusnya dilihat sekadar sijil yang digantung di dinding, tetapi ia perlu menjadi budaya kerja yang hidup dalam setiap proses perniagaan.
“Apabila pelanggan datang membeli di Luckin Coffee, mereka yakin bahawa produk yang dinikmati bukan sahaja sedap dan berkualiti, tetapi juga bersih, selamat dan mematuhi piawaian halal sepenuhnya,” jelasnya lepada Sinar Islam Plus ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.
Bina kepercayaan pelanggan
Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, matlamat utamanya menyertai Luckin Coffee adalah untuk membina kepercayaan mendalam dalam kalangan pengguna Malaysia, khususnya apabila halal mempunyai standard yang tinggi di negara ini dan dihormati di peringkat global.
Menariknya beliau memilih untuk menyertai syarikat itu ketika jenama berkenaan masih belum memiliki sijil halal.
“Bagi sesetengah pihak, ia mungkin dianggap cabaran besar kerana perlu membentuk pasukan halal, menyediakan dokumentasi dan menyusun sistem dari awal.
“Namun bagi saya, keadaan itu sebenarnya peluang terbaik untuk membina Sistem Jaminan Halal (HAS) sejak dari peringkat asas,” jelasnya.
Ujarnya, jika sistem tersebut dibina dari awal, budaya pematuhan dapat dimasukkan terus ke dalam DNA syarikat.
“Membentuk pasukan dan menyediakan dokumentasi dari peringkat asas menjadikan ia teguh sekali gus memastikan kami tidak perlu ‘memperbaiki’ keadaan di kemudian hari, sebaliknya melakukan segalanya dengan betul sejak dari mula,” katanya yang mempunyai latar belakang pendidikan syariah.
Sambungnya, kejayaan mendapatkan sijil halal bagi setiap cawangan bukanlah sekadar kejayaan sekali lalu, sebaliknya hasil usaha kolektif seluruh warga syarikat.

MEMBUDAYAKAN pematuhan halal dari dalam diri staf menunjukkan komitmen Luckin Coffee dalam pasaran industri halal.
“Antara fokus utama yang sentiasa diberi perhatian adalah untuk memastikan sifar insiden ketidakpatuhan ketika audit dalaman dan luaran, di samping melaksanakan latihan berterusan kepada pekerja, penyelia, pasukan operasi, rantaian bekalan dan pemasaran,” katanya.
Konsisten patuhi prosedur
Menurutnya, menguruskan rangkaian cawangan yang banyak khususnya di sekitar Lembah Klang, menuntut ketelitian tinggi dan pemantauan berterusan.
Beliau mengakui cabaran terbesar adalah untuk memastikan piawaian yang sama diamalkan di setiap premis tanpa kompromi.
“Bagi menangani perkara itu, audit berkala dijalankan di semua cawangan, selain penggunaan senarai semak pematuhan yang terperinci.
“Kerjasama erat antara pasukan halal dan operasi juga menjadi kunci utama bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi secara konsisten,” jelasnya.
Dalam isu pematuhan pekerja, beliau menegaskan bahawa prinsip halal boleh difahami dan diamalkan oleh semua kakitangan termasuk bukan Islam apabila diberi latihan yang betul.
Menurutnya, syarikat menyediakan Latihan Kesedaran Halal kepada semua barista dan Latihan Kompetensi Halal kepada penyelia premis.
“Selain itu, Jawatankuasa Halal Dalaman turut diwujudkan bagi menyelaras latihan, pemantauan dan tindakan penambahbaikan.

PIHAK pengurusan Luckin Coffee bergambar kenangan ketika mengadakan lawatan ke Jakim baru-baru ini.
“Apabila pekerja memahami bahawa halal juga membawa maksud kebersihan, integriti dan kualiti, mereka akan melihatnya sebagai piawaian universal, bukan isu agama semata-mata,” katanya.
Ustaz Ahmad Aminurrashid turut bersetuju dengan pandangan bahawa memperoleh pensijilan halal hanyalah permulaan, manakala mengekalkannya jauh lebih mencabar.
Katanya, status halal memerlukan komitmen harian, bukan usaha bermusim.
“Atas sebab itu, mesyuarat berkala, audit kendiri dan pemantauan rapi perlu sentiasa dilakukan, terutama ketika syarikat sedang berkembang pesat,” katanya.
Sebanyak 27 cawangan Luckin Coffee kini berjaya memperoleh pensijilan halal dan pihaknya komited untuk mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan Jakim serta jabatan berkaitan, manakala baki cawangan sedang dalam proses pensijilan secara berperingkat.






