am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pempengaruh media sosial mengakui menyimpan gula-gula disyaki mengandungi dadah di dalam peti ais sebelum dimakan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil soal siasat mendapati suspek berusia 39 tahun dan tinggal bersama ibunya, yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan, mendakwa memperoleh barang terlarang itu dari negara jiran.
Menurutnya, suspek kemudian menyimpan gula-gula itu di dalam peti ais rumah ibunya namun tidak menyedari mangsa mengambil dan memakannya.
“Selepas itu, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri walaupun beberapa kali dikejutkan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, polis menjalankan serbuan di rumah suspek yang terletak di Sungai Putat.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut tidak menemui ‘gula-gula’ yang dimaksudkan,” katanya.
Semalam media melaporkan pempengaruh media sosial itu ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.
Dzulkhairi berkata, lelaki berkenaan direman tujuh hari bermula 16 April sebelum disambung lima hari lagi sehingga Isnin depan (27 April) bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pada 14 April kira-kira jam 5 petang, seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar sebelum ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak itu positif THC.
Katanya, ibu mangsa memaklumkan anaknya diambil dari rumah pengasuh, sebelum mangsa menerima rawatan bantuan pernafasan menggunakan tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan pada 11 April lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





