Manchester: Michael Carrick memuji aksi cemerlang Casemiro dan Bruno Fernandes selepas dua tonggak tengah Manchester United itu menjadi inspirasi kemenangan 2-1 ke atas Brentford yang membawa mereka semakin hampir layak beraksi di Liga Juara-Juara.
Casemiro membuka jaringan buat United di awal permainan di Old Trafford hasil tandukan berpunca daripada sepakan penjuru Fernandes.
Fernandes kemudian membantu United menggandakan kelebihan sebelum rehat apabila melakukan larian deras sebelum membuat hantaran tepat kepada Benjamin Sesko yang tenang menyudahkan peluang.
Skuad kendalian Carrick berjaya bertahan daripada asakan lewat Brentford termasuk jaringan Mathias Jensen untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain veteran Brazil, Casemiro, yang dijangka meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat hujung musim ini, kini sudah menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan terakhir, membuktikan nilainya masih tinggi buat United.
Fernandes pula terus menjadi nadi penting pasukan apabila kapten United itu mencatat bantuan gol ke-19 musim ini, hanya satu kurang daripada rekod bantuan gol terbanyak semusim EPL yang dipegang Thierry Henry dan Kevin De Bruyne.
Carrick menyedari kepentingan dua pemain tengahnya itu dan berkata: “Casemiro menjaringkan beberapa gol penting untuk kami. Bruno dan Casemiro mempunyai keserasian yang baik.
“Kami menjaringkan gol hampir setiap perlawanan dan Bruno memainkan peranan besar. Dia mungkin boleh mencipta satu lagi bantuan gol dan menjaringkan gol sendiri.”
Ketika Carrick mengambil alih hingga akhir musim, United berada di tangga keenam dan peluang ke Liga Juara-Juara tampak samar.
Namun bekas pemain tengah United itu berjaya menstabilkan pasukan selepas era sukar di bawah bimbingan Ruben Amorim.
Kini United hanya memerlukan dua mata daripada baki empat perlawanan untuk mengesahkan tempat ke saingan elit Eropah buat kali pertama sejak musim 2023-24.
“Sekarang kami berada di kedudukan baik dan mahu menamatkan musim setinggi mungkin.
“Saya fikir semangat, usaha dan kesatuan pemain sangat hebat. Ini waktu penting dan keputusan adalah segalanya, kami perlu mengutip mata.
“Liga ini sangat mencabar. Untuk capai jumlah kemenangan ini, kami sangat gembira.
“Hari ini kami fokus kepada tiga mata. Kami ada perlawanan penting menentang Liverpool dan kami menantikannya,” kata Carrick.
© New Straits Times Press (M) Bhd






