Usaha elektrifikasi nampaknya tidak akan melembutkan karakter ikonik Jimny. Terbaharu, versi elektrik bagi Suzuki Jimny telah dikesan sedang menjalani ujian jalanan, dengan imej intipan menunjukkan bahawa model ini masih mengekalkan keupayaan off-road yang menjadi identitinya.
Prototaip tersebut dilihat dalam keadaan dilitupi pelekat samaran tebal dan diuji dalam persekitaran bersalji, Ini memberi petunjuk jelas bahawa Suzuki sedang menguji prestasi kenderaan ini dalam keadaan cengkaman rendah. Walaupun tiada maklumat rasmi didedahkan setakat ini mengenai platform, bateri atau sistem motor, beberapa petunjuk penting sudah mula kelihatan.
Apa yang paling menarik perhatian ialah kemungkinan besar Jimny EV ini masih menggunakan solid front axle, satu komponen penting dalam dunia off-road hardcore. Ini memberi gambaran bahawa Suzuki tidak mahu mengubah Jimny menjadi sekadar SUV elektrik biasa yang lebih fokus kepada jalan raya, sebaliknya mahu mengekalkan karakter lasak yang menjadi kekuatan model ini sejak dahulu.
Dari segi rekaan, prototaip ini jelas mengekalkan bentuk klasik Jimny yang dikenali ramai, dengan rekaan tegak dan berkotak, bonet rata, cermin hadapan hampir menegak, serta overhang pendek. Semua elemen adalah penting untuk memastikan sudut masuk (approach angle) dan keupayaan merentas halangan kekal optimum.

Secara keseluruhan, proporsi badan dilihat hampir sama dengan versi petrol sedia ada, walaupun pelekat samaran menyukarkan penilaian perubahan sebenar pada panel badan.
Bahagian hadapan pula menunjukkan perubahan yang lebih jelas. Gril tradisional Jimny kelihatan lebih minimal, satu ciri biasa bagi kenderaan elektrik yang tidak memerlukan aliran udara seperti enjin pembakaran dalaman. Lampu hadapan pula tampil dengan rekaan lebih nipis dan mendatar, memberikan sentuhan moden tanpa menghilangkan identiti asal.
Tetapi Suzuki masih mengekalkan beberapa bukaan pada bahagian bumper hadapan, yang berkemungkinan digunakan untuk menyejukkan komponen elektrik seperti bateri dan motor. Secara keseluruhan reka bentuk masih jelas mengutamakan kelegaan tanah (ground clearance) dan keupayaan off-road, bukannya aerodinamik untuk pemanduan laju di jalan raya.
Dalam ujian tersebut, satu lagi prototaip Jimny turut dilihat mengikuti dari belakang, menunjukkan bahawa Suzuki mungkin sedang menguji beberapa konfigurasi berbeza secara serentak. Ini menguatkan lagi kemungkinan bahawa Jimny EV ini sedang dibangunkan dengan serius untuk kegunaan off-road sebenar, bukan sekadar eksperimen gaya
Jika maklumat awal ini tepat, Jimny EV berpotensi menjadi sesuatu yang unik dalam pasaran EV. Kebanyakan SUV elektrik kecil hari ini lebih menjurus kepada penggunaan bandar dan keselesaan jalan raya, tetapi Suzuki nampaknya cuba mengekalkan konsep “mini 4×4 tulen” walaupun beralih kepada kuasa elektrik.




