SKUAD badminton lelaki Perancis melakar sejarah menumbangkan pilihan utama kejohanan yang juga juara 14 kali, Indonesia 4-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan D Piala Thomas yang berlangsung di Forum Horsens, Denmark.
Ia sekali gus menyaksikan Perancis berjaya mara ke pusingan seterusnya selaku naib juara kumpulan manakala Indonesia mencatatkan rekod terburuk dalam sejarah penyertaan mereka sejak tahun 1958 apabila gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Bintang Perancis, Toma Junior Popov menyifatkan kejayaan itu sebagai detik paling membanggakan buat negara mereka.
“Kami lebih daripada bangga. Leo (Rossi) dan Eloi (Adam) menunjukkan kemampuan luar biasa di dalam gelanggang ini. Mereka pernah meraih perak di Kejohanan Eropah di Horsens, dan mungkin sebab itu pasukan memberi kepercayaan kepada mereka untuk beraksi dalam acara beregu.
“Saya rasa kami telah melaksanakan tugas dengan baik dan membuktikannya. Tahniah kepada mereka dan juga kepada semua pemain perseorangan,” katanya.
Nada kegembiraan turut dikongsi adiknya, Christo Popov yang menyifatkan kemenangan itu seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan.
“Jika anda beritahu saya dua atau tiga tahun lepas yang kami akan mengalahkan Indonesia, saya pasti tertanya-tanya siapa yang mampu menyumbang mata?
“Tetapi hari ini kami menunjukkan identiti sebenar pasukan ini. Kami bukan hanya menang perlawanan demi perlawanan, tetapi kami menang sebagai sebuah pasukan. Sokongan rakan sepasukan di luar gelanggang memberi tenaga luar biasa, terutamanya pada saat krusial,” ujar Christo.
Dalam aksi tersebut, segalanya serba tidak menjadi buat Indonesia bermula dengan kekalahan mengejut Jonatan Christie kepada Christo Popov. Jonatan dilihat gagal bangkit selepas tunduk di set pertama sebelum terus buntu di set kedua.
Momentum Perancis diteruskan oleh Alex Lanier yang tampil bertenaga untuk menumbangkan Alwi Farhan, sekali gus memberikan tamparan kedua buat skuad Garuda.
Harapan Indonesia untuk bangkit melalui Anthony Sinisuka Ginting juga musnah selain kejutan paling besar berlaku dalam acara beregu apabila pasangan ranking ke-52 dunia, Eloi Adam-Leo Rossi berjaya menumbangkan pasangan ranking ke-9 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
“Mungkin ini kemenangan paling penting dalam sejarah badminton Perancis. Menang 4-0 menentang Indonesia, yang merupakan negara paling ikonik dalam sukan ini, sangat bermakna buat kami. Ini adalah tahun yang hebat buat pasukan Perancis,” ujar Eloi Adam.






