Salah bakal buat pengumuman penting dalam tempoh terdekat

Salah bakal buat pengumuman penting dalam tempoh terdekat


TEKA-teki mengenai destinasi baharu bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah bakal terjawab dalam tempoh beberapa hari lagi.

Perkara itu didedahkan oleh Penyelaras Media skuad kebangsaan Mesir, Muhammad Murad yang mendakwa kapten Mesir itu kini berada di fasa akhir untuk mengumumkan kelab baharunya.

Menurut Murad, Salah yang telah menamatkan kontrak lebih awal melalui persetujuan bersama bulan lalu sedang menimbang beberapa tawaran lumayan daripada pelbagai liga terkemuka dunia.

“Terdapat laporan mengenai tawaran dari Itali, Perancis dan pasukan gergasi lain. Sebagai bintang besar, beliau sudah pasti akan memberi impak besar kepada mana-mana pasukan yang disertai.

“Salah juga menerima tawaran dari Arab Saudi. Pasukan mana pun yang menjadi pilihannya, kami akan terus menyokongnya. Saya percaya dalam beberapa hari lagi, beliau akan membuat pengumuman rasmi,” katanya memetik laporan Four Four Two.

Meskipun spekulasi kuat mengaitkan perpindahannya ke Liga Pro Saudi, ejennya, Ramy Abbas Issa sebelum ini tetap mengunci mulut dan menegaskan tiada siapa tahu ke mana hala tuju pemain itu selepas ini.

Dalam pada itu, kerjaya Salah di Anfield mungkin berakhir lebih awal selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan koyak otot hamstring ketika membantu Liverpool menang 3-1 ke atas Crystal Palace pada 25 April lalu.

Sejak menyertai kelab dari AS Roma pada 2017, dia telah menjaringkan lebih 250 gol dan memenangi setiap trofi utama termasuk Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris.

Satu majlis perpisahan penuh emosi dijangka akan diadakan pada perlawanan terakhir musim ini bagi menghargai sumbangan besarnya.

Selepas melengkapkan perpindahan kelab, tumpuan Salah akan beralih kepada persiapan kelayakan Piala Dunia 2026 di mana Mesir diundi dalam kumpulan yang turut membariskan Belgium, New Zealand dan Iran.



Source link

OR

Scroll to Top