harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran bakal menggunakan pendekatan berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap ‘formula’ yang digunakan pada PRN Negeri Sembilan dan Johor mungkin tidak boleh digunakan di Melaka berdasarkan suasana politik di negeri berkenaan.
Ditanya berhubung ikatan antara BN-Perikatan Nasional (PN) beliau memberi gambaran bahawa kerjasama antara kedua-dua parti kekal teguh selepas kejayaan pada PRN di Negeri Sembilan.
“Pada hemat saya tidak ada satu formula yang sama dengan acuan yang sama, kerana Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini juga mempunyai formula yang berbeza.
“Tentunya Melaka memerlukan formula yang sesuai dengan geopolitik negeri itu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-219 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kerjasama parti politik pada PRN Melaka beliau menegaskan setiap gabungan perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas serta perjanjian yang dimeterai tidak boleh dimungkiri kemudian hari.
Katanya, sebarang kerjasama dengan mana-mana parti perlu diteliti dari setiap sudut dan perlu mengambil kira aspek positif dan negatif sebelum dipersetujui.
“Pada hemat saya sebarang perundingan yang akan dilakukan mesti melihat dua aspek iaitu manfaat dan mudarat.
“Kita harus melihat kemanfaatan yang lebih daripada mudarat dan sebarang perundingan yang akan dilakukan dengan mana-mana pihak atau mana-mana gabungan.
“Kita harus jujur, ikhlas dan memegang janji yang kita sebut, bukan melakukan perkara yang sebaliknya apabila sebarang perjanjian itu dipersetujui bersama,” katanya.
Menurutnya beliau sudah memberikan mandat kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi BN Melaka untuk mengadakan rundingan berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
