Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis terhadap aktivis-aktivis misi kemanusiaan di perairan antarabangsa, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan tindakan yang dilakukan oleh tentera negara haram berkenaan adalah melanggar undang-undang maritim dan ia jelas menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.
“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.
“Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi,”tegasnya.

Tegasnya lagi, kerajaan MADANI dibawah kepimpinan beliau sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan dengan segera.
“Dalam situasi getir ini, ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.
“Kepada Allah SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla,”katanya.
Hari ini, sebanyak 22 kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dipintas, dengan enam daripadanya melibatkan rakyat Malaysia dalam insiden di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece

Artikel lain: GSF: Bukan soal gagal! Semua laluan darat, udara dan laut ada risiko – Ahmad Faezal
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, insiden itu berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia, bersamaan 6 petang hingga 4 pagi waktu Greece.
Menurutnya, ketika kejadian, flotila berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete.
Katanya lagi, kesemua 22 kapal yang dinaiki 186 individu telah dipintas, terputus hubungan dan sebahagiannya diceroboh secara langsung.
Tambahnya, enam kapal yang disahkan ditahan melibatkan rakyat Malaysia ialah Arkham III, Eros 1, Esplai, Bianca BCN, Freia dan Marea.
“Antara rakyat Malaysia terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi,” katanya.
Sumber: FB Anwar Ibrahim






