sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Biarpun berehat lebih empat bulan akibat kecederaan, penyerang import Terengganu FC (TFC), Yann Mabella membuktikan aksinya belum ‘berkarat’.
Terdahulu ketika pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada minggu lalu, pemain berusia 30 tahun itu berjaya meledak gol pertama pasukannya sebelum kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Justeru pertemuan dengan Kuching City dalam saingan Liga Super pada malam esok di Stadium Negeri, penyerang tinggi lampai itu dijangka sekali lagi ditagih untuk merobek kubu skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak.
Hal ini diakui pengendali TFC, Tengku Hazman Raja Hassan yang gembira melihat prestasi Mabella yang beraksi dengan baik sepanjang perlawanan itu biarpun baru pulih daripada kecederaan lutut yang panjang.
“Saya puas hati dengan aksi pertama Mabella selepas kembali daripada berehat yang panjang lebih-lebih dia dapat menjaringkan gol dalam perlawanan itu.
“Namun ada beberapa situasi terutama satu lawan satu pemain itu masih kurang, mungkin selepas ini pemain berkenaan akan kembali bermain seperti biasa,” ujar bekas ‘arkitek’ skuad kebangsaan itu yang sebelum ini mengambil alih jawatan berkenaan daripada Badrul Afzan Razali yang direhatkan.
Mengulas lanjut, Tengku Hazman bagaimanapun akui ketiadaan tiga pemain tonggak iaitu Gervane Kastaneer, Azam Azmi Murad dan Kyaw Min Oo yang mengalami kecederaan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukannya bertemu finalis Piala Malaysia musim ini itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






