Fabio Capello kembali mencetuskan sensasi selepas mendedahkan sisi gelap bintang Brazil, Ronaldo Nazario sewaktu kedua-duanya berada di Real Madrid.
JURULATIH berpengalaman, Fabio Capello kembali mencetuskan sensasi selepas mendedahkan sisi gelap bintang Brazil, Ronaldo Nazario sewaktu kedua-duanya berada di Real Madrid.
Dalam satu kenyataan terbuka di Ferrara baru-baru ini, Capello tanpa berselindung melabel pemenang Piala Dunia itu sebagai ‘pemimpin negatif’ yang membawa pengaruh buruk di dalam bilik persalinan.
Menurut Capello, walaupun Ronaldo diakui mempunyai bakat luar biasa, namun tahap profesionalismenya berada pada tahap yang sangat mengecewakan sehingga menjejaskan keharmonian pasukan.
“Dia (Ronaldo) tidak berlatih dengan betul dan pengaruhnya menyebabkan rakan sepasukan lain turut terjebak dengan tabiat buruknya. Dia adalah seorang pemimpin yang negatif buat skuad,” tegas pengendali kelahiran Itali itu.
Capello turut mendedahkan butiran mengenai kemerosotan fizikal Ronaldo apabila berat badannya meningkat mendadak berbanding ketika dia memenangi Piala Dunia 2002.
Jelasnya, gaya hidup Ronaldo yang gemar berparti dan hilang fokus terhadap bola sepak akhirnya memaksa kelab mengambil tindakan tegas untuk melepaskannya.
“Dia bukan contoh yang baik. Dia sentiasa keluar berparti, berat badannya bertambah dan fikirannya tidak lagi pada padang,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Capello turut mengambil kesempatan untuk mengimbau semula perjalanan kariernya, di mana dia menyifatkan keputusan meninggalkan Real Madrid untuk kembali ke AC Milan sebagai kesilapan terbesar yang pernah dilakukannya.
Selain menyelar Ronaldo, Capello juga sempat mengkritik bakat yang disia-siakan seperti Antonio Cassano dan Mario Balotelli, selain menyifatkan legenda Belanda, Johan Cruyff sebagai seorang yang genius namun angkuh.






