Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (enam, kanan belakang) bergambar bersama penaja pada majlis pelancaran SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality di LMP Event Hall, Lumi Tropicana. Foto Bernama
PENGANJURAN SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality bakal melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan seramai 50,000 peserta sekali gus bakal menjadi acara larian terbesar di Malaysia.
Acara berprestij yang dijadualkan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 18 dan 19 Julai depan itu turut menyasarkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, pencapaian sasaran 50,000 pelari itu merupakan satu detik penting yang mencerminkan perkembangan positif budaya gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Mencapai angka 50,000 pelari merupakan satu pencapaian besar buat kami, namun apa yang lebih penting, ia mencerminkan bagaimana budaya larian di Malaysia telah berkembang.
“Apa yang kita saksikan sekarang bukan sekadar peningkatan dari segi jumlah, sebaliknya peralihan tentang bagaimana orang ramai mendekati sukan ini bermula daripada pelari kali pertama sehinggalah mereka yang mengejar prestasi,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (dua, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality di LMP Event Hall, Lumi Tropicana. Foto Bernama
Dalam pada itu, acara edisi kali ini bakal menarik perhatian apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang disahkan bakal membuat penampilan sulung dalam kategori separuh maraton.
Lih Kang berkata, penglibatan beliau kali ini adalah untuk mencabar keupayaan diri selepas berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer (km) pada edisi tahun lalu.
“Pada tahun lepas, menamatkan larian 10km sudah pun menjadi pencapaian peribadi terbaik buat saya. Tahun ini, saya mahu mencabar diri dengan menyertai separuh maraton di SCORE Marathon,” jelasnya.
SCORE Marathon 2026 akan mempertandingkan empat kategori utama iaitu larian 5km, 10km, separuh maraton (21km) dan maraton penuh (42km).






