puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Watak ikonik seorang bapa yang ‘keras di luar, namun rapuh di dalam’ dalam filem Bisik Pada Langit kini tinggal kenangan apabila pelakon veteran, Jalil Hamid, menghembuskan nafas terakhirnya, semalam.
Pencetus idea asal filem Bisik Pada Langit, Saniboey Mohd Ismail, menerusi hantarannya di Instagram, semalam, menyifatkan kehilangan sebutir permata seni yang cukup besar dalam industri hiburan tanah air.
Saniboey berkongsi, menerusi naskhah arahan Kabir Bhatia pada 2017 itu, Allahyarham Jalil Hamid bukan sekadar menterjemah watak seorang bapa, malah menjadi cerminan kepada sesiapa sahaja yang bergelar ayah.
“Keras di luar, rapuh di dalam. Mencintai tanpa tahu cara untuk meluahkan dan akhirnya belajar melepaskan dengan hati yang hancur.
“Bagi aku, beliau adalah pilihan yang tepat masa bikin Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia pada 2017 lalu kerana bagi aku, wajah Allahyarham menyimpan luka dan matanya bercerita tentang cinta seorang ayah yang tidak pernah sempurna tetapi sangat benar.
“Hari ini (semalam), kita kehilangan seorang pelakon. Tetapi lebih dari itu, kita kehilangan bayangan diri kita sendiri,” tulisnya.
Sementara itu, pelakon, Ummi Nazeera mendedahkan rasa ralat apabila tidak berkesempatan merealisasikan impiannya untuk bekerjasama dengan Allahyarham Jalil dalam projek sulung arahannya, baru-baru ini.
Ummi menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, dia yang juga peminat tegar Allahyarham Jalil menerima tawaran untuk mengarah sebuah telefilem, beberapa minggu lalu.
Ummi yang turut berlakon dalam filem Bisik Pada Langit ini turut berkongsi bahawa nama Allahyarham Jalil merupakan antara pilihan utama yang terlintas di fikiran untuk menggalas watak bapa dalam naskhah berkenaan.
“Beberapa minggu lepas, saya menerima tawaran untuk mengarah sebuah telefilem. Antara nama pertama yang terlintas di fikiran saya untuk memegang watak ayah ialah Jalil Hamid,” tulisnya.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian disebabkan faktor kekangan jadual yang menghalangnya daripada memberikan komitmen kepada naskhah tersebut.
Meskipun terkilan, Ummi tetap memanjatkan kesyukuran kerana pernah diberi peluang berlakon sebagai anak kepada Allahyarham Jalil dalam filem Bisik Pada Langit.
“Bersyukur Allah memberi peluang untuk saya berlakon sebagai anaknya dalam (filem) Bisik Pada Langit beberapa tahun lalu. Ia satu kenangan yang akan saya simpan selamanya,” kongsinya.
Filem Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia ini pernah mencetuskan fenomena sembilan tahun lalu
memberi impak emosi yang mendalam dan terkenal dengan kekuatan jalan cerita kekeluargaan yang dekat dengan jiwa masyarakat.
Selain Ummi, antara selebriti yang turut terkesan dengan pemergian Allahyarham ialah Beto Kusyairy, Nadhir Nasar, Rosnah Mat Aris, Zila Bakarin, Fizo Omar, Arja Lee, Yana Samsudin, Bell Ngasri, Amy Nur Tinie dan ramai lagi.
Terdahulu, Allahyarham Jalil dilaporkan meninggal dunia dalam tidur pada tengah hari semalam sekitar jam 12.30 tengah hari di kediamannya di Taman Alam Megah.
Berita pemergian itu dimaklumkan anak kelimanya, Afiqah Jalil, 33, menerusi hantaran di Instagram.
Allahyarham Jalil meninggalkan seorang balu, Hayati Sariat, 62 dan enam cahaya mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd





