KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) kekal sebagai institusi khusus untuk bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedudukan itu bukan sahaja termaktub dalam Perlembagaan, malah merupakan sebahagian kontrak sosial yang dipersetujui oleh pemimpin pelbagai kaum dan agama, sejak sebelum kemerdekaan.
“Penubuhan Mara adalah hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada 1965 sebelum Akta Mara diperkenalkan pada 1966 dengan matlamat utama untuk meningkatkan taraf sosioekonomi bumiputera.
“Tujuan dan matlamatnya jelas iaitu untuk memastikan kesejahteraan bumiputera dapat dipertingkatkan.
“Fokus Mara terhadap bumiputera adalah selari dengan asas penubuhannya, sekali gus memperkukuh peranan agensi itu dalam pembangunan pendidikan, keusahawanan dan ekonomi masyarakat berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Kami Gen Mara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, usaha pemerkasaan bumiputera melalui Mara tidak bermaksud mengetepikan kaum lain.
“Pemerkasaan ini dibuat adalah sebagai terjemahan kepada agenda nasional keseluruhannya bagi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara seimbang.
“Pendekatan ini penting tanpa menjejaskan asas Perlembagaan yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya.-UTUSAN






